kepentingan dan implikasi teori-teori pembelajaran dalam meningkatkan keberkesanan proses P&P.
Convert to study materialsBETA
Transform any presentation into ready-made study material—select from outputs like summaries, definitions, and practice questions.
1 of 10
Downloaded 1,062 times
More Related Content
kepentingan dan implikasi teori-teori pembelajaran dalam meningkatkan keberkesanan proses P&P.
1. 2
A. Bincangkansejauhmanakahkepentingandanimplikasi teori-teori
pembelajarandalam meningkatkankeberkesananprosesP&P.
Teori Pembelajaran Behavioris mengatakan bahawa pembelajaran merupakan
satu proses pelaziman iaitu hubungan antara rangsangan luar dengan tindak balas
individu dapat dibina untuk menghasilkan perubahan tingkah laku yang kekal. Dari
perspektif behaviorisme, pembelajaran hanya bermula apabila wujudnya tindak balas
terhadap sesuatu rangsangan yang diberi. Proses pembelajaran akan diteruskan jika
terdapat motivasi ekstrinsik yang sesuai (sama ada peneguhan positif atau negatif)
sementara pembelajaran dikatakan berakhir apabila perubahan tingkah laku dapat
dibentuk dan dikekalkan. Selain itu, behaviorisme merupakan satu pendekatan
pemikiran yang menekankan peranan pengalaman dalam mengawal tingkah laku.
Menurut ahli-ahli behaviorisme, proses-proses penting yang mengawal tingkah laku ini
adalah dipelajari. Oleh itu, kedua-duanya iaitu dorongan yang membangkitkan tingkah
laku serta tingkah laku tertentu yang dibangkitkan daripada dorongan ini dipelajari
melalui interaksi dengan persekitaran. Antara matlamat utama pemikiran ini ialah untuk
menentukan hukum-hukum atau prinsip-prinsip yang mengawal pembelajaran.
Mengikut Teori Pelaziman Klasik Pavlov, minda manusia adalah seperti ‘kotak
hitam’ yang tidak boleh dibuka. Apa yang boleh diperhatikan hanyalah rangsangan yang
masuk dan gerak balas atau respons yang keluar sebagai reaksi kepada rangsangan.
Oleh yang demikian, guru hendaklah menetapkan matlamat yang spesifik. Ini bermakna,
matlamat akhir proses pembelajaran hendaklah dinyatakan dengan jelas. Ini adalah
kerana matlamat akhir proses pembelajaran yang jelas adalah penting untuk murid-
murid supaya mereka memahami isi pelajaran yang telah dipelajari oleh mereka.
Contohnya, dalam mengajar makanan berkhasiat, guru perlu menyatakan jenis-jenis
makanan berkhasiat dan kepentingannya serta memberitahu murid keburukan makanan
tidak berkhasiat.
Selain itu, guru perlu memastikan matlamat yang dinyatakan adalah realistik dan
boleh dicapai. Ini adalah kerana pada pendapat Ivan Pavlov, organisma (manusia atau
haiwan) tidak akan memberikan tindak balas atau respon kepada rangsangan dalam
persekitaran yang tidak ada hubungan langsung dengan organisma. Oleh itu, matlamat
yang realistik dan boleh dicapai boleh mengelakkan kebosanan murid-murid dalam
2. 3
proses P&P dan murid-murid dapat memberikan respon semasa guru mengajar.
Sebagai contoh, guru yang mengajar dengan menggunakan alat bantu mengajar yang
menarik seperti menggunakan bahan maujud akan menarik perhatian murid-murid.
Menurut Teori Pelaziman Klasik J.B. Watson, kanak-kanak mempunyai tiga
reaksi emosi yang asas iaitu rasa takut, marah dan sayang. Oleh itu, dalam bilik darjah,
guru boleh memastikan pembentukan emosi positif dalam kalangan murid. Suasana bilik
darjah yang mesra, adil dan berdisiplin dapat membentuk persekitaran psikososial yang
positif, yang seterunya mempengaruhi emosi murid. Misalnya pada hari pertama
persekolahan, murid-murid tahun satu akan berasa takut dan tegang apabila
menghadapi keadaan yang baharu. Pada masa ini, guru yang mesra dan berkasih
sayang akan mempengaruhi emosi murid supaya mereka bertenang dan kurang takut.
Menurut Thorndike, hubungan antara rangsangan dengan gerak balas akan
menjadi kukuh jika kesan tingkah laku menyeronokkan atau memuaskan. Namun,
sekiranya berlaku kesan tindakan yang negatif atau tidak memuaskan, maka gerak
balas tidak akan berulang. Dengan kata lain, Hukum Kesan menyatakan guru hendaklah
menyediakan suasana pembelajaran yang dapat membawa kepada rasa berjaya. Oleh
itu, guru perlu memastikan tugasan yang diberi sesuai dengan kemampuan murid
supaya mereka sering menikmati kejayaan dan seterusnya meningkatkan perasaan
penghargaan diri dan keyakinan. Apabila murid berjaya menjawab tugasan yang diberi,
mereka akan berasa seronok dan berpuas hati untuk membuat tugasan yang
seterusnya. Sebaliknya, jika murid tidak berjaya menjawab tugasan yang diberi, mereka
akan berasa kecewa dan tidak akan berusaha untuk mencuba lagi.
Selain itu, murid akan berasa puas hati dan gembira apabila guru memberi
pujian. Pujian yang diberi juga boleh menjadi satu dorongan dalam kalangan murid
supaya mereka mengamalkan tingkah laku yang positif. Sebagai contoh, guru boleh
memberi motivasi dalam bentuk pujian, hadiah dan kata-kata perangsang untuk
membentuk tingkah laku yang diingini.
Hukum Latihan menegaskan bahawa manusia belajar melalui proses membuat
dan mengulang dan lupaan berlaku apabila perkara yang dipelajari tidak dipelajari atau
diulangi. Oleh itu, hubungan antara rangsangan dengan gerak balas yang positif boleh
diperkukuhkan sekiranya dibuat berulang-ulang kali. Sebaliknya, hubungan antara
rangsangan dengan gerak balas akan menjadi lemah jika tidak diulangi. Dalam situasi
3. 4
bilik darjah, guru-guru digalakkan memberi latihan dalam pelbagai bentuk, latih tubi dan
mengaplikasikan kemahiran dengan lebih kerap. Misalnya guru boleh melakukan aktiviti-
aktiviti tambahan kepada aktiviti-aktiviti asas pembelajaran yang dijalankan sama ada
dalam atau luar waktu sekolah. Aktiviti pengayaan ini dapat meluaskan pengetahuan
dan pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari.
Bagi Thorndike, sekiranya tiada persediaan yang mencukupi akan membawa
kepada kekecewaan. Oleh yang demikian, guru perlu memastikan murid-murid
mempunyai kesediaan yang diperlukan untuk memulakan sesuatu topik atau aktiviti
pembelajaran. Jika murid bersedia apabila guru membimbing, murid boleh mengikuti
pembelajaran yang baik dan akan mencapai kejayaan sekiranya perkara yang dipelajari
selaras dengan keupayaan mereka. Contohnya guru boleh meronda seluruh bilik darjah
sebelum memulakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya memastikan semua
murid bersedia untuk menerima pengajaran guru.
Teori Pembelajaran Sosial menekankan kepada faktor sosial di mana manusia
berfikir dan bertingkah laku melalui pemerhatian dan meniru tingkah laku yang
menghasilkan ganjaran. Berdasarkan teori ini, pembelajaran berlaku melalui
pemerhatian dan peniruan. Oleh yang demikian, guru perlu menunjukkan tingkah laku
yang boleh diteladani. Sebagai seorang guru, kami haruslah mempunyai sifat-sifat yang
terpuji yang boleh dicontohi. Dalam hal ini, guru haruslah sentiasa berpakaian kemas,
berkelakuan baik, bersopan santun, berbudi bahasa, sentiasa menepati masa, rajin dan
mempunyai sikap positif terhadap tugas-tugas yang diamanahkan. Apabila guru
bertingkah laku baik, murid akan meniru perlakuan baik yang ditunjukkan oleh guru.
Murid-murid memerlukan model yang baik, yang boleh ditiru dalam
perkembangan bahasa lisan dan pemupukan kelakuan yang bagus. Oleh itu,
penyampaian guru hendaklah cekap dan menarik agar dapat menjadi role model kepada
murid dan juga demonstrasi guru hendaklah jelas serta menarik agar murid dapat
menirunya dengan cepat. Contohnya, sesetengah murid akan meniru cara mengajar
dan cara bercakap guru mereka.
Selain itu, guru boleh menggunakan model sebenar yang mungkin terdiri
daripada rakan-rakan sebaya yang cemerlang serta mempunyai ketokohan yang tinggi
dan sesuai untuk ditiru. Dengan cara ini, murid-murid lain akan memerhatikan perlakuan
model dan cuba meniru perlakuannya kerana mereka ingin menjadi murid model yang
4. 5
dihormati oleh orang lain. Di samping itu, guru paparkan hasilan kerja terbaik untuk
membolehkan murid berkenaan terus berusaha dan merangsang murid lain berusaha
sebagaimana murid berkenaan. Sebagai contoh, guru memuji murid yang berlukisan
cantik dan paparkan hasilan lukisan, murid lain akan bermotivasi untuk mengikut
perlakuannya. Sekiranya murid berasa seronok dan mendapat peneguhan daripada
orang lain, maka tingkah laku itu akan diulangi dan dikukuhkan. Oleh itu, guru perlu
memberi peneguhan kepada murid yang menunjukkan tingkah laku yang diingini.
Guru boleh juga mengajar nilai dan peranan watak-watak yang penting melalui
situasi main peranan dan simulasi. Murid dapat meniru tingkah laku positif secara tidak
langsung yang ditunjukkan watak-watak dalam simulasi tersebut. Contohnya dalam
situasi main peranan ahli bomba semasa menyelamatkan api, murid akan meniru
perlakuan dan cara menyelamatkan api. Dalam masa yang sama, guru juga boleh
mengajar nilai moral seperti tolong-menolong dan sanggup berkorban kepada murid-
murid.
Menurut teori pembelajaran mazhab kognitif, pembelajaran merupakan satu
proses pembentukan struktur kognitif dan perwakilan minda yang aktif. Pembelajaran
kognitif menekankan cara belajar seperti pemikiran celik akal, kaedah penyelesaian
masalah, penemuan, kategori pembelajaran dan resepsi. Teori ini menekankan kepada
proses mental kanak-kanak. Teori ini juga berasaskan prinsip pembelajaran kognitif
yang menerangkan bagaimana pelajar menerima, memproses, menyimpan dan mencari
maklumat dalam memori (Ertmer & Newby 1993). Ilmu pengetahuan yang diperoleh
bukan berhasil daripada latih tubi dan peneguhan, tetapi lebih merujuk kepada proses
interaksi antara skema minda, pengalaman sedia ada dan keadaan baru yang juga
melibatkan pengharapan seseorang individu tersebut. Oleh itu, sekiranya seseorang
tidak dapat mengenal pasti hubungan perkara dan ertinya yang dipelajari pembelajaran
tidak akan berlaku walaupun diberikan latihan berulang-ulang. Antara ahli-ahli psikologi
kognitif seperti Kohler, Piaget, Bruner, Gagne dan Ausebel yang berpendapat bahawa
pembelajaran ialah suatu proses mental (kognitif) yang akan berlaku dalam fikiran iaitu
tidak dapat diperhatikan secara langsung daripada tingkah laku manusia. Justeru,
kebanyakan situasi, penyelesaian suatu masalah kompleks melibatkan proses dan
pemikiran kognitif menyeluruh.
5. 6
Teori pengamatan Gestalt mengusulkan pembelajaran berlaku secara
keseluruhan-bahagian-keseluruhan. Jadi, guru hendaklah mendedahkan keseluruhan
sebelum membincangkan bahagian-bahagian isi pelajaran dan rumuskan dengan
keseluruhan. Contohnya dalam pembelajaran lagu, guru menyairkan keseluruhan lagu
bagi murid-murid mendengar beberapa kali. Kemudian, barulah diteliti rangkap demi
rangkap. Akhirnya menyanyi lagu secara keseluruhan.
Teori Pembelajaran Penemuan Bruner memberi penekanan terhadap
pembelajaran yang berpusatkan murid. Murid-murid akan membina idea atau konsep
baru berasaskan pengetahuan sedia ada masing-masing. Mereka akan memilih
maklumat yang diperlukan, kemudian membentuk hipotesis, seterusnya mengintegrasi
bahan baru ini ke dalam pengetahuan sedia ada. Guru perlu menyediakan persekitaran
pembelajaran yang boleh mendorong minat meneroka dalam kalangan murid supaya
mereka boleh membina pengetahuan menerusi cuba jaya. Misalnya guru boleh
melakukan eksperimen yang mempunyai hubungkait.
Menurut Ausubel, guru hendaklah menyusun maklumat secara ansur maju
daripada maklumat umum kepada khusus, iaitu secara deduktif. Dengan ini,
penyampaian pengajaran dan pembelajaran mestilah disusun secara teratur dan
gunakan bahan-bahan penyampaian pengajaran yang ada kaitan dengan pengetahuan
sedia ada murid atau pembelajaran lepas. Selain itu, guru perlu memberi maklumat
dalam bentuk yang sesuai dengan keupayaan murid untuk membolehkan mereka
memahami pembelajaran baru dan dalam masa yang sama guru hendaklah membantu
murid membuat perbandingan maklumat baru dengan pengetahuan sedia ada.
Teori konstruktivisme merupakan suatu teori yang digunakan sebagai panduan
dalam pendidikan. Dalam pendidikan konstruktivis, terdapat beberapa prinsip asas iaitu
pengetahuan dibina oleh para murid, setiap murid memiliki idea dan pengetahuan asas,
proses pembinaan pengetahuan melibatkan aspek sosial, dan guru merupakan
fasilitator dalam pembinaan pengetahuan murid. Pembelajaran dan pengajaran yang
berdasarkan konstruktivisme ini menyeimbangkan peranan guru dan murid untuk saling
bersandar di antara satu sama lain. Peranan guru hanya dilihat sebagai pengawal bilik
darjah selain mereka seharusnya menerima murid-murid sebagai individu yang
mempunyai ciri-ciri perlakuan yang berbeza. Melalui teori ini, ia dapat membuka ruang
serta peluang kepada guru untuk memilih kaedah yang sesuai dalam memperolehi
6. 7
sesuatu konsep dan pengetahuan. Konstruktivisme adalah pendekatan yang memberi
hak dan peluang untuk murid-murid belajar untuk belajar (learn how to learn) dengan
membina makna dan kefahaman yang tinggi dalam kerangka minda masing-masing.
Berdasarkan kepada pengalaman dan persekitaran yang sedia ada. Keadaan ini
menuntut agar guru lebih prihatin terhadap keperluan dan kehendak murid secara
individu.
Konstruktivisme ialah teori pembelajaran yang melihat murid sebagai pembina
pengetahuan, dan bukannya sebagai penerima pengetahuan. Menurut Piaget,
keupayaan mengurus maklumat dan pengetahuan berlaku secara berperingkat. Proses
membina pengetahuan juga berlaku mengikut peringkat yang bermula dengan
pengetahuan sedia ada dalam struktur kognitif. Perkembangan kognitif kanak-kanak
dibahagikan kepada empat peringkat iaitu peringkat sensori motor (lahir–2 tahun),
peringkat praoperasi (2–7 tahun), peringkat operasi konkrit (7–11 tahun) dan peringkat
operasi formal (11–15 tahun).
Semasa mengajar murid peringkat praoperasi, guru perlu memberi peluang
kepada murid menerokai alam fizikal melalui aktiviti main dan aktiviti penyelasaian
masalah. Arahan yang diberi haruslah mudah dan singkat. Guru mungkin perlu
mendemonstrasikan perlakuan-perlakuan semasa memberi arahan verbal tersebut. Di
samping itu, guru perlu menggalakkan murid melakukan aktiviti minds-on yang
melibatkan banding-beza dan susunan mengikut urutan seperti ketinggian, berat atau
panjang. Misalnya murid boleh berbaris mengikut ketinggian mereka daripada rendah
kepada yang paling tinggi. Selain itu, Guru boleh mengedalikan aktiviti menyemai benih
untuk menarik minat murid memerhati urutan proses percambahan benih. Guru boleh
meminta murid menyatakan tantang sesuatu yang diperhatikan atau melukis dan
bersoal jawab tentang perkara tersebut.
Murid-murid pada peringkat operasi konkrit masih belum dapat berfikir secara
abstrak. Oleh itu, guru perlu menyediakan bahan-bahan untuk murid menguji idea
mereka melalui penglibatan aktif supaya dapat berfikir secara logik tentang
permasalahan yang dihadapi mereka. Selain itu, guru haruslah menyediakan peluang
untuk murid membuat penerokaan dan penemuan konsep yang dipelajari menggunakan
daya pemikiran. Guru juga boleh berikan galakkan kepada murid melakukan aktiviti
kebalikan atau susunan songsang. Murid pada peringkat ini mampu mengikut arahan,
7. 8
peraturan dan giliran yang ditetapkan. Tambahan, murid boleh memahami konsep
kemenangan dan kekalahan dalam sesuatu pertandingan serta memahami emosi diri
dan orang lain. Oleh yang demikian, guru haruslah merancang aktiviti-aktiviti prososial
seperti aktiviti berpasukan, bekerjasama, bertolak ansur, tolong-menolong dan
sebagainya.
Pada peringkat operasi formal, murid-murid digalakkan menggunakan pemikiran
konvergen, divergen, reflektif dan metakognitif. Guru harus sering mengadakan
perbincangan dengan murid-murid untuk mengetahui pemikiran mereka dan guru
menerangkan sesuatu konsep dengan jelas, sabar dan dengan fikiran yang terbuka.
Jangan sekali-kali mencemuh dan mengetepikan sahaja pendapat atau kesalahan yang
dilakukan oleh murid-murid.
Teori Konstruktivisme Sosial dipelopori oleh Lev Vygotsky. Menurut beliau,
perkembangan kognitif kanak-kanak bergantung kepada interaksinya dengan orang-
orang berkepentingan dalam persekitaran budayanya. Pada pendapat Vygotsky, isi
pelajaran mudah dikuasai oleh murid jika berasaskan kepada skema ataupun
pengetahuan sedia ada. Oleh itu, guru hendaklah menyediakan banyak contoh dan
bahan sumber yang boleh membantu murid membuat perkaitan dan membina
pemahaman baru. Selain itu, guru hendaklah mengaitkan isi pelajaran dengan situasi
sebenar. Tugasan autentik yang berasaskan kepada masalah alam nyata, pengalaman
berasaskan konteks sebenar, simulasi dan sebagainya boleh dimanfaatkan.
Menurut Vygotsky, berkomunikasi dengan diri sendiri (private-speech) juga boleh
dijadikan salah satu perkembangan kanak-kanak yang bagus kerana dapat mengawal
tingkah lakunya sendiri. Malah kanak-kanak yang sering bercakap dengan diri sendiri
lebih cekap berbanding kanak-kanak yang tidak bercakap sendiri. Oleh yang demikian,
guru dicadangkan menggalakkan murid-murid menggunakan private-speech semasa
berfikir dan menyelesaikan masalah. Sebagai contoh, guru boleh memberi pendahuluan
cerita kepada murid dan meminta murid menyambung cerita tersebut dengan fikiran
sendiri.
Di samping itu, guru boleh mengadakan gerak kerja kumpulan dan perbincangan
secara kumpulan untuk mewujudkan interaksi yang berkualiti. Melalui aktiviti dan
perbincangan dalam kumpulan, murid dapat berkongsi idea, mendapat pemahaman
yang lebih jelas dan meluahkan buah fikiran. Contohnya, guru boleh menyediakan
8. 9
soalan Matematik yang agak sukar kepada murid-murid secara kumpulan supaya
mereka bekerjasama untuk berbincang soalan tersebut.
Mengikut pandangan ahli psikologi humanisme, fitrah manusia pada dasarnya
adalah mulia dan baik. Setiap individu akan berkembang secara semulajadi sekiranya
persekitaran mereka adalah sesuai. Oleh itu, guru harus mengikut keperluan murid,
membantu mereka mempelajari ilmu pengetahuan yang mereka suka dan dianggap
bermakna. Prinsip tersebut dapat dikuatkan lagi dengan setiap individu bertindak atas
persekitaran masing-masing dan bebas untuk membuat pilihan dan keputusan dalam
usaha membentuk dunia peribadi dan pembelajaran. Kajian ahli psikologi humanisme
menyatakan bahawa pembelajaran manusia bergantung kepada emosi dan perasaan
masing-masing. Selain itu, pendekatan humanis terhadap pendidikan menekankan
keunikan setiap individu dengan menyatakan pandangan, pengalaman dan pendekatan
terhadap pembelajaran setiap individu adalah berbeza. Secara keseluruhannya,
pendekatan humanis memperkatakan mengenai pendekatan berpusatkan pelajar.
Teori Pembelajaran Humanisme melihat murid sebagai insan berpotensi,
bermotivasi dan berkeupayaan untuk belajar dan berkembang. Oleh itu, guru hendaklah
melayani murid sebagai iasan kemudian barulah melayani mereka sebagai murid. Guru
juga hendaklah menerima setiap murid tanpa syarat. Layani perbezaan individu
mengikut potensi dan keupayaan masing-masing. Contohnya, murid yang lemah dalam
akademik mungkin berbakat dalam melukis. Guru harus menerima murid tersebut dan
cuba menperkembangkan potensinya dalam seni lukis.
Menurut Rogers, semua insan mempunyai daya dan keinginan yang tinggi untuk
belajar. Kegagalan untuk belajar bukan kerana ketidakupayaan murid tetapi puncanya
suasana pembelajaran yang kurang sesuai. Dalam menyediakan suasana yang kondusif
untuk murid-murid belajar, guru perlulah menjelaskan objektif pembelajaran,
membekalkan sumber pembelajaran yang sesuai, mengimbangkan komponen
intelektual dan emosi berkaitan dengan pembelajaran, dan berkongsi perasaan dan idea
dengan mereka. Jadi, guru dicadangkan sentiasa melibatkan murid dalam aktiviti
kumpulan, seperti pembelajaran koperatif. Ini dapat membina hubungan sosial dan
kemahiran emosi. Namun guru sebagai fasilitator bagi aktiviti kumpulan. Jika murid
menghadapi masalah perbincangan semasa menjalankan aktiviti kumpulan, guru
hendaklah membantu dan memberi pandangan kepada murid-murid supaya masalah
9. 10
mereka dapat diselesaikan. Melalui aktiviti kumpulan, perasaan dan amalan saling
hormat-menghormati dapat dipupukan serta dapat membantu pembelajaran berkesan.
Di samping itu, guru harus memberi peluang kepada murid untuk menentukan
aktiviti pembelajaran dan bahan yang ingin dipelajari bagi meningkatkan motivasi belajar.
Contohnya, guru boleh memberi pilihan antara bermain badminton atau bola keranjang
kepada murid. Jika guru tidak memberi pilihan kepada murid, namun perancangan
pengajaran perlu mengambil kira minat, kecenderungan, kesediaan belajar dan
perbezaan individu. Sebagai contoh, guru boleh menggunakan pendekatan bermain
sambil belajar dalam perancangan pengajaran supaya murid berminat dan berasa
seronok dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu, setiap murid mempunyai keupayaan dan potensi yang berbeza. Jadi
dalam satu kelas mesti terdapat murid yang cerdik dan murid yang lemah.
Aktiviti/program pengayaan boleh dilaksanakan oleh murid cemerlang dan sederhana.
Manakala, aktiviti/program pemulihan boleh dilaksanakan oleh murid yang lemah bagi
membentuk konsep kendiri yang positif. Guru hendaklah percaya bahawa semua murid
boleh belajar sekiranya tempoh masa pembelajarinya mencukupi dan guru mestilah
bersabar semasa mengajar murid yang lebih lemah.
Menurut Hierarki Keperluan Maslow, keperluan manusia boleh disusun mengikut
satu hierarki yang bermula yang bermula dengan keperluan fisiologi, diikuti dengan
keselamatan, kasih sayang, penghargaan diri, kognitif, estetik dan berakhir dengan
penyampaian kendiri. Keperluan yang paling asas sekali bagi manusia ialah keperluan
fisiologi. Seseorang itu akan berasa kurang selesa jika keperluan asas tidak dipenuhi.
Oleh yang demikian, guru hendaklah memastikan keperluan fisiologi murid telah
dipenuhi, seperti makan minum, waktu rehat, cahaya dan pengudaraan bilik darjah yang
baik. Murid-murid perlu dipenuhi keperluan fisiologi supaya mereka tumbesaran dengan
sihat. Badan yang sihat dan kuat akan mencergaskan fikiran murid-murid.
Apabila keperluan fisiologi dipenuhi, seseorang itu akan memberi tumpuan
kepada memenuhi keperluan keselamatan dan perlindungan. Untuk memastikan murid
dapat belajar dengan baik, guru hendaklah memastikan keselamatan murid terjamin,
misalnya menyediakan keadaan fizikal bilik darjah yang sesuai seperti susun atur meja
dan kerusi, saiz meja dan kerusi sesuai dengan saiz murid, tiada ancaman buli, ada
10. 11
peraturan dan rutin bilik darjah yang sesuai, wujudkan semangat setia kawan dan
dinamika kumpulan.
Guru juga hendaklah sentiasa yakin bahawa setiap murid berpotensi. Layan
murid-murid sebagai individu bukan sebagai kelas. Guru haruslah mengingat setiap
nama murid dalam kelas supaya mereka sedar bahawa guru benar-benar mengenali
mereka masing-masing dan memberi perhatian bila-bila masa.
Selain itu, guru perlu berikan tugasan yang sesuai dengan keupayaan murid
supaya mereka berjaya membuatnya. Perkara ini akan menimbulkan rasa berjaya dan
meningkatkan harga diri murid. Guru juga perlu memberi peneguhan dan pengiktirafan
bagi hasil kerja murid. Ini adalah kerana manusia memerlukan penghargaan diri di mana
seseorang itu berusaha bagi mendapatkan pengiktirafan orang lain.
Kesimpulannya, guru yang memiliki pengetahuan dan penguasaan teori
pembelajaran mampu menyumbang kepada pembelajaran yang efektif, meyeronokkan
dan dapat meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Jadi,
guru hendaklah mengimplikasikan teori-teori pembelajaran yang sesuai dalam proses
pengajaran dan pembelajaran supaya murid berminat dan berseronok untuk belajar
pengetahuan baru.