Adalah penting untuk kita mengambilkira faktor budaya
1. Adalah penting untuk kita mengambilkira faktor budaya, sosial dan politik dalam
perspektif sejarah untuk memahami sifat pembahagian sosial, konflik, identiti dan
keamanan. Sebagai contoh, isu keterasingan (compartmentalization) dan kelangsungan
etnik (ethnic survival) boleh mencetuskan konflik etnik. Kurikulum kebangsaan yang
dilaksanakan di sekolah sememangnya memberi penekanan kepada betapa pentingnya
nilai dan norma yang menggalakkan perpaduan dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Pendekatan terarah melalui pengenalan mata pelajaran khusus seperti Pendidikan
Moral, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Sejarah serta disokong
melalui kaedah penerapan nilai merentas kurikulum merupakan usaha Kemeneterian
Pelajaran Malaysa menyemai dan menyuburkan semangat patriotisme dan perpaduan
kepada semua rakyat Malaysia yang mengikuti sistem pendidikan negara.
Pendidikan Sejarah bertujuan untuk memupuk dan memperkukuh semangat setia
negara dan jati diri sebagai warganegara Malaysia dan warga dunia, melalui
pengetahuan dan penghayatan sejarah tanah air dan sejarah negara luar. Usaha ini
bertujuan mewujudkan semangat perpaduan dan kekitaan bangsa dan negara
Malaysia. Pendidikan Sejarah juga dapat mewujudkan ingatan bersama terhadap
Sejarah sebagai rangka kesedaran dan persefahaman antarabangsa.
Sejarah juga merupakan satu mata Pelajaran yang dapat merangsang pemikiran. Ia
membolehkan pelajar dapat melihat secara empati dan menganalisis bagaimana
manusia menggunakan masa, ruang, perubahan dan kesinambungan. Pemahaman
Sejarah dalam konteks pengajaran pembelajaran bermaksud pemahaman secara kritis
dan imaginatif tentang segala aspek kehidupan manusia silam dan kini. Untuk
meningkatkan pemahaman pelajar terhadap mata pelajaran Sejarah, pembelajaran dan
pengajaran Sejarah pada masa kini bukan sahaja terikat dengan kaedah ‘chalk and talk’
malah boleh dikembangkan dengan kaedah penggunaan ICT serta aktiviti-aktiviti yang
dijalankan di sekolah. Aktiviti yang dijalankan termasuklah mengadakan Bulan
Patriotisme di peringkat sekolah.
2. Pendidikan sejarah adalah wajar ditekankan dalam diri individu yang mana melalui
kesedaran terhadap kepentingan pendidikan sejarah ini mampu melahirkan individu
yang cintakan tanah air. Pertamanya kita dapat lihat bagaimana melalui pemahaman
terhadap nilai sejarah akan memberi banyak pengajaran serta pedoman untuk kita
menghadapi masa kini yang penuh dengan berbagai cabaran yang kian mencabar
dengan peningkatan teknologi dan sebagainya telah membuka jalan kepada
penyerapan anasir-anasir luar masuk dengan mudahnya yang dapat mengakibatkan
jatuh bangunnya sesebuah negara. Melalui pemahaman terhadap nilai sejarah juga
individu dapat menyelami susah payahnya pejuang-pejuang terdahulu dalam
membebaskan negara daripada dibelenggu penjajahan Inggeris yang menduduki
negara kita sebelum 1957. Dengan itu, perkara ini mampu untuk mewujudkan satu rasa
penghargaan dalam diri kita terhadap keperitan mereka yang berjasa demi kebebasan
generasi terkemudian iaitu kita. Akhirnya ini, dapatlah diyakini dengan pendidikan
sejarah kita mampu untuk melahirkan anak-anak Malaysia yang besar jiwanya dengan
kecintaan terhadap negara mereka ini.
Bagi menjana satu sistem pendidikan yang berkualiti, maka kurikulum yang dihasilkan
perlu relevan dan dinamik dengan kehendak semasa disamping turut mengambil kira
keperluan-keperluan masa akan datang. Ini adalah perlu kerana budaya pendidikan
semasa mempunyai kaitan lansung dengan segala bentuk perubahan yang melibatkan
struktur sosial, ekonomi, dan politik di dalam negara mahupun di seluruh dunia.
Sebagai sebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum, kurikulum perlu
memberi penekanan kepada aspek perpaduan untuk mengekalkan social cohesion
(kejeleketan sosial). Di samping itu, kurikulum juga perlu menyemai semangat
patriotisme dan semangat cintakan negara dikalangan semua lapisan masyarakat. Ini
secara lansung menjamin pembangunan sistem pendidikan berkualiti dan seterusnya
melengkapkan agenda pembangunan negara.