Artikel mengenai pendedahan aktiviti sains awal kepada kanak-kanak
1 of 3
More Related Content
Kepentingan pendidikan awal sains kepada kanak
1. KEPENTINGAN PENDIDIKAN AWAL SAINS KEPADA KANAK-KANAK
Masitah Binti Musa
Pensyarah
Universiti Selangor
2018
Sains didefiniskan sebagai ilmu yang boleh menerang dan memahami sifat alam. Bidang
sains mengandungi tiga aspek iaitu kognitif, konatif, dan afektif. Menurut Abruscato (2000),
sains adalah proses yang melibatkan kemahiran intelek dan manipulative bagi mendapatkan
maklumat berhubung alam semulajadi.
Dengan kata lain, sains adalah pengetahuan yang diperolehi melalui aplikasi proses
saintifik. Penerapan pendidikan awal sains seharusnya dimulakan pada peringkat lebih awal
lagi (Vygotsky, 1984). Ini kerana matlamat pendidikan awal sains kepada kanak-kanak dapat
membentuk dan memupuk perkembangan dalam aspek pengetahuan dan kemahiran (Harlan
& Jelly, 1989). Bidang ilmu sains membekalkan rangka konsep bagi membolehkan kanak-
kanak memahami alam sekeliling. Pendedahan awal kepada kanak-kanak terhadap bidang
sains adalah penting bagi perkembangan konsep-konsep saintifik serta perkembangan intelek
yang lain.
Proses pendidikan awal sains pada peringkat awal kanak-kanak menekankan konsep
pembelajaran aktif. Justeru, aktiviti-aktiviti yang dirancang adalah bercorak hands-on yang
mana ia dapat melibatkan kanak-kanak secara aktif melalui interaksi. Ini kerana kanak-kanak
belajar memahami sesuatu konsep dengan baik melalui pemerhatian, sentuhan, rasa dan
manipulasi bahan bagi membina kefahaman saintifik.
Antara kemahiran proses sains yang dikenal pasti sesuai diperkembangkan pada
peringkat awal adalah kemahiran membuat pemerhatian, kemahiran membuat perbandigan,
kemahiran mengelas, kemahiran mengukur, menganggar dan menggunakan nombor,
kemahiran berkomunikasi, kemahiran meramal, kemahiran membuat inferens, kemahiran
menggunakan perhubungan ruang dan masa, kemahiran mentafsir maklumat, kemahiran
mendefinisikan secara operasi, kemahiran mengawal pemboleh ubah, kemahiran membina
hipotesis, kemahiran menjalankan eksperimen ( Zurida et .al, 2012).
Guru memainkan peranan yang penting dalam mebantu kanak-kanak menguasai
kemahiran saintifik. Antaranya adalah mendedahkan kanak-kanak kepada konsep-konsep
sains melalui persekitaran bagi membolehkan kanak-kanak meneroka alam sekeliling,
membuat ramalan melalui eksperimen ringkas. Malah, komunikasi antara guru dan kanak-
kanak juga penting supaya kanak-kanak mendapat bimbingan apabila aktiviti penerokaan dan
penyiasatan. Ini akan menggalakkan kanak-kanak memahami proses sains dan seterusnya
menguasai konsep-konsep sains mudah.
Penyediaan bahan-bahan eksperimen yang selamat adalah penting bagi penerokaan
sains yang berkesan. Kanak-kanak akan mudah tertarik untuk melakukan eksperimen melalui
2. aktiviti yang melibatkan bahan-bahan di persekitaran mereka. Contohnya, batu kecil, daun
kering, air dan besen bagi memahami konsep tenggelam dan timbul. Malah, kanak-kanak
juga dapat sama-sama mencari bahan-bahan eksperimen bersama guru selepas aktiviti ini
dijalankan untuk mengukuhkan lagi pemahaman kanak-kanak.
Penggunaan masa dan ruang juga merupakan aspek yang penting dalam pengajaran
sains awal kanak-kanak. Sains melibatkan penggunaan ruang. Sesetengah aktiviti sains
memerlukan ruang yang mencukupi. Malah, aktiviti akan dijalankan di luar bilik darjah. Bagi
menjimatkan masa, aktiviti perbualan pagi atau ‘Morning circle’ hanya berkisar kepada
aktiviti sains dan boleh diadakan selama beberapa hari atau berminggu-minggu.
Hasil eksperimen atau aktiviti sains akan disimpan dalam portfolio kanak-kanak.
Portfolio mengandungi pelbagai bahan seperti nota atau catatan guru, pita rakaman audio atau
video, gambar kanak-kanak semasa menjalankan aktiviti sains, projek sains dan hasil kerja
kanak-kanak itu sendiri. Malah, kanak-kanak sangat digalakkan mempersembahkan hasil
eksperimen mereka. Antaranya adalah melalui persembahan lakonan, mural, menceritakan
semula hasil kerja atau projek sains mereka.
Peranan pendidik atau orang dewasa sangat penting bagi memastikan kanak-kanak
menjalankan aktiviti sains atau projek sains dengan baik. Antara langkah yang boleh diambil
adalah melibatkan kanak-kanak secara aktif dalam aktiviti-aktiviti penerokaan, membuat
penemuan dan membina kesedaran berhubung alam sekeliling serta fenomena-fenomena
semulajadi. Sains bagi kanak-kanak termasuklah melihat pergerakan haiwan, tumbuhan, air,
pasir, bermain dengan blok binaan dan melibat pergerakan kereta mainan serta mencuba dan
bertanya soalan (Shahizan dan Ahmad Shahabudin, 2006).
Tuntasnya, guru dan orang dewasa perlu memainkan peranan yang penting dalam
membantu kanak-kanak menguasai kemahiran saintifik serta konsep-konsep sains dengan
menyediakan persekitaran dan peluang-peluang yang membolehkan kanak-kanak meneroka
alam sekeliling, membuat ramalan melalui eksperimen ringkas dan membuat rumusan.
Penerokaan awal ini akan menjadi asas kepada pembelajaran sains awal yang seterusnya.
Oleh itu, penyediaan aktiviti sains awal adalah penting dalam penerokaan yang lebih
mendalam.
3. Rujukan
Abruscato, J.D. (2000). Teaching Children Science: A Discovery Approach (5th ed.). Boston:
Allyn & Bacon.
Harlan, J.D.& Rivkin, M.S. (1996). Science Experience for the early childhood years: An
integrated approach (6th ed.). Eaglewood Cliffs, NJ: Merrill Curriculum
Shahizan Hassan dan Ahmad Shahabudin Che Noh, (2006). Panduan Merancang Aktiviti
Prasekolah. PTS Professional Publishing Sdn Bhd.
Vygotsky (1984). Science for Children (2nd ed). Sydney: Prentice Hall Australia.
Zurida Ismail, Sharifah Norhaidah Syed Idros, Maznah Ali (2008), Pendidikan Sains
Prasekolah, Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn.Bhd.