1. Langkah Mengatasi Vandalisme
Selepas mencapai kemerdekaan selama kira-kira lima puluh dua tahun, pencapaian negara ini dari sudut
pembangunan dan pemodenan amat ketara dan agak setanding dengan beberapa buah negara
membangun di dunia. Namun begitu, pada zaman ledakan teknologi maklumat yang penuh dengan
pancaroba ini, kita kerap pula berhadapan dengan masalah gejala sosial yang boleh meruntuhkan akhlak
rakyat Malaysia dan sekaligus boleh mencemarkan imej negara di persada antarabangsa. Antara gejala
yang dimaksudkan dan boleh membawa impak negatif yang serius kepada negara ialah vandalisme.
Untuk itu, sebagai negara yang sedang mengorak langkah ke gerbang globalisasi kita perlu
melaksanakan pelbagai strategi dan inisiatif untuk membanteras gejala yang kian menular ini sebelum
menjadi wabak yang parah.
Salah satu langkah yang dapat dilaksanakan oleh kerajaan adalah dengan mengadakan pelbagai kempen
kesedaran. Melalui kempen sebegini, seluruh golongan rakyat perlu mengubah sikap dan pemikiran
seterusnya bersatu membentuk satu masyarakat yang tinggi tahap ketamadunannya. Seluruh rakyat
malaysia perlu berusaha menanam kesedaran dalam diri agar sentiasa bersyukur atas segala kemudahan
dan prasarana yang disediakan oleh pihak kerajaan, seterusnya memainkan peranan dan tanggungjawab
untuk memastikan segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk kegunaan rakyat sejagat,
sentiasa dalam keadaan yang terpelihara dan mudah guna.
Di peringkat sekolah, keburukan gejala sosial seperti vandalisme perlu diterapkan dalam pengajaran dan
pembelajaran. Contohnya melalui mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan
Pendidikan Moral, setiap pelajar akan menyuburkan perasaan kasih sayang mereka kepada tanah air.
Setiap warganegara Malaysia yang patriotik pastinya tidak akan melakukan apa-apa sahaja perbuatan
yang akan mencacatkan imej negara tercinta.
Disingkap dari perspektif lain,ibu bapa juga memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya. Dalam
usaha memburu kejayaan dan mengumpulkan kekayaan, ibu bapa tidak wajar melupakan
tanggungjawab dalam membentuk anak-anak menjadi insan yang berbudi luhur dan berdisiplin. Ibu
bapa yang sedar akan tanggungjawab mereka itu perlu memastikan bahawa anak-anak akan menjauhi
kancah sosial, seperti vandalisme. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga perlu memberi didikan agama yang
sempurna kerana insan yang bertakwa kepada Tuhan akan menjauhi aktiviti yang membawa kesan
buruk kepada diri sendiri. Didikan sebegini sewajarnya diberikan sejak zaman kanak-kanak umpama
melentur buluh, biarlah dari rebungnya.
Disamping itu, setiap individu perlu memainkan peranan bagi mengelakkan diri sendiri daripada terjebak
dalam gejala vandalisme. Di peringkat sekolah, pelajar perlu bijak memilih rakan supaya tidak
terpengaruh oleh ajakan negatif. Dalam rumah tangga pula, ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang
baik menggunakan kemudahan-kemudahan yang ada dengan betul kerana anak-anak akan mencontohi
perbuatan dan gelagat ibu bapa. Sementara itu anggota masyarakat pula harus menegur setiap perilaku
atau perbuatan yang menjurus kepada angkara vandalisme.
Secara tuntasnya, peranan semua warganegara amat dituntut untuk bersama-sama memastikan gejala
vandalisme tidak terus dilakukan oleh sesiapa sahaja demi keamanan dan kesejahteraan. Jika perkara ini
2. dapat benar-benar direalisasikan hasrat kita untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan dihuni
oleh penduduk yang mempunyai tahap kesedaran sivik yang tinggi serta sentiasa bertatasusila
menjelang tahun 2020 akan menjadi kenyataan.
Suntingan Akhbar
Kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membina kemudahan awam seperti tandas awam,
tempat menunggu bas, tempat permainan dan gerai makan untuk menyediakan kemudahan dan
keselesaan kepada orang ramai.
Ia adalah harta awam dan hak milik bersama semua rakyat. Adalah menjadi tanggungjawab semua
rakyat menjaga dan memastikan keadaannya sempurna. Kegiatan merosakkan hak milik awam atau
vandalisme adalah perbuatan khianat yang semakin berleluasa.
Sekiranya tiada usaha konkrit untuk membendung perilaku ini ia akan menjadi beban kepada rakyat dan
kerajaan. Kerajaan akan memungut cukai daripada rakyat untuk membina berbagai kemudahan yang
disediakan.
Semakin tinggi peruntukan disediakan semakin banyak cukai perlu dibayar oleh rakyat. Cukai yang
dipungut ini akan dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk kemudahan yang disediakan.
Untuk memastikan kemudahan awam yang disediakan tidak memerlukan kos penyelenggaraan yang
tinggi adalah menjadi tanggungjawab rakyat memastikan ia dalam keadaan sempurna.
Vandalisme bukan saja menyusahkan masyarakat kerana ia tidak dapat menggunakan kemudahan yang
disediakan, tetapi membebankan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana terpaksa
membaiki dan membina semula kemudahan yang rosak. Perbelanjaan membaiki dan membina semula
kerosakan akan memberi kesan peruntukan perbelanjaan PBT.
Meningkatkan kos menyelenggara akan memberi kesan kepada kurangnya peruntukan untuk membina
kemudahan awam yang baru. Peruntukan yang rendah akan menyebabkan kurangnya kemudahan
awam yang dapat disediakan dan ini merugikan orang ramai. Vandalisme perlu dibendung dan
dihentikan.Tetapi siapa perlu mengambil tanggungjawab ini?
Kerugian akibat vandalisme yang direkodkan, pada 2000 yang dialami oleh Projek Usahasama Transit
Automatik Sdn Bhd (PUTRA) ialah RM354,550, Telekom Malaysia RM722,200, Jabatan Pengurusan
Perumahan DBKL RM109,500 dan Polis Diraja Malaysia RM78,797. Bayangkan sekiranya kerugian ini
direkodkan oleh semua PBT dan jumlah ini boleh digunakan untuk membina pelbagai kemudahan lain.
Perbuatan vandalisme adalah masalah sosial yang dihadapi oleh masyarakat. Masalah ini mempunyai
hubungkait dengan masalah ego dan me-isme atau pentingkan diri sendiri. Vandalis akan berasa puas
hati apabila merosakkan sesuatu dan mereka tidak berasa berdosa melakukan perkara itu.
3. Ini kerana sifat me-isme dalam diri mereka amat tebal. Mereka tidak berasa malu dengan perbuatan itu.
Vandalis adalah orang yang rendah tamadunnya. Ini amat berbeza dengan mereka yang bertamadun
tinggi kerana mereka menghargai dan mengutamakan persekitaran yang tertib, suasana pemandangan
indah dan ketinggian seni dan budaya.
Kegagalan masyarakat membendung perbuatan vandalisme itu sendiri membayangkan bahawa
masyarakat itu turut mempunyai masalah. Walaupun, jika masyarakat sekeliling mempunyai kesedaran
pentingnya hak awam dipelihara, oleh kerana kurangnya kerjasama di antara masyarakat dan tingginya
sifat pentingkan diri sendiri atau me-isme ini memberikan kesan buruk kepada masyarakat.
Sifat me-isme perlu dihapus segera. Sekiranya sifat ini dibiarkan tertanam dalam diri sesuatu masyarakat
dan menjadi budaya dalam masyarakat itu ianya bukan saja menyebabkan tiada sifat kerjasama, tetapi
juga masing-masing tidak mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Mereka hanya menjaga harta, tetapi bukan hak bersama. Sifat me-isme perlu dibendung tapi
bagaimana? Pelakuan merosakkan harta awam tidak terhad di bandar saja, tetapi ia berlaku di mana-
mana. Ia juga terhad kepada golongan remaja, malah ia dilakukan oleh murid sekolah.
Laporan statistik mencatatkan kerugian akibat vandalisme di sekolah menengah bagi pertengahan 2000
ialah RM40,446 yang membabitkan perbuatan merosakkan peralatan seperti meja, kerusi, pagar dan
tandas. Perbuatan ini juga dilaporkan di sekolah rendah yang membabitka murid-murid berumur di
bawah 12 tahun. Kerugian yang dicatatkan ialah RM31,384.00 bagi tempoh Januari-Julai 2000.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Kerajaan Tempatan akan
menyediakan bebrapa program meningkatkan kesedaran orang ramai.
Kempen anti-vandalisme dengan slogan Hak Awam Hak Bersama akan dilancarkan. Kempen ini
membawa mesej keperibadian kita (masyarakat) yang menentukan kepentingan harta awam yang
menjadi hak bersama.
Dengan kata lain, masyarakat sendiri akan menentukan apa keperibadian mereka.
Rendah atau tingginya kperibadian masyarakat akan ditentukan oleh perilaku mereka. Oleh itu, kempen
ini diadakan bertujuan untuk melahirkan kesedaran masyarakat pentingnya harta awam dan mereka
perlu memainkan fungsi menjaga harta awam.
Program kesedaran ini perlu disokong sepenuhnya oleh PBT. Ini kerana PBT mempunyai hubungkait
secara lansung dengan harta awam. PBT bertanggungjawab membina dan menyelenggara kemudahan
awam. Usaha ke arah meningkatkan penguatkuasaan undang-undang bagi menghukum vandalis perlu
diberi perhatian sewajarnya.
Di sampng itu, fungsi NGO dan media massa juga amat diperlukan bagi menyampai dan menghebahkan
maklumat berkaitan dengan kesedaran masyarakat berhubung dengan vandalisme.
4. Bagi memastikan kempen ini berjaya, PBT, NGO, media massa serta persatuan penduduk perlu
mengemblengkan tenaga ke arah membanteras vandalisme.
Langkah Mengatasi Vandalisme(Petikan)
Kita perlu memperhalusi punca masalah yang dibangkitkan untuk mengatasi masalah vandalisme. Ibu
bapa memainkan peranan yang penting untuk membendung gejala ini. Mereka harus bersikap lebih
prihatin dan mengambil berat tentang anak. Ibu bapa patut dijadikan model dan mendidik anak-anak
mengamalkan amalan murni sejak kecil lagi. Ibu bapa harus memberi teguran terhadap anak-anak yang
melakukan vandalisme supaya mereka tidak terus bersalah.
Di samping itu, peranan sekolah tidak dapat dinafikan dalam apa jua masalah yang melibatkan remaja.
Warga Malaysia dididik menjadi insan yang mempunyai jati diri, berilmu dan beramal. Guru-guru
menerapkan nilai-nilai murni dalam pengajaran di kelas. Sekolah wajar mengenakan hukuman setimpal
terhadap sesiapa yang melakukan vandalisme di sekolah. Dalam waktu yang sama, aktiviti kempen,
pertandingan kelas terbersih sekolah perlu dijalankan secara lebih kerap.
Gejala vandalisme akan menimbulkan pelbagai kesukaran kepada anggota masyarakat. Kita seharusnya
menghargai kemudahan awam yang disediakan supaya dapat menggunakannya pada waktu kecemasan.
Oleh itu, semua pihak patut menggembleng tenaga untuk mengatasi masalah ini demi kesejahteraan
masyarakat.