1. Mewujudkan Budaya Keseronokan Bekerja
Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Oleh :
Haji Samian bin Sawiyo
Pengetua Cemerlang
Sekolah Menengah Sains Muar
Pendahuluan
Isu guru dengan pengajaran dan pembelajaran sangat berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan.
Hakikatnya guru mesti dan wajib mempunyai ilmu dan kemahiran untuk menyampaikan
pengajarannya. Dalam dunia yang kian pesat berubah, segala yang berlaku, berubah dan
bergerak begitu pantas serta drastik sekali. Kaedah pengajaran memang sangat banyak.
Menarik, seronok, menghiburkan, membosankan, menjemukan dan sebagainya semuanya
bergantung kepada penyampainya. Dalam isu ini, kreativiti, komitmen, kesungguhan, dedikasi,
kerajinan serta kebijaksanaan mencari sumber atau kaedah pengajaran yang terkini amat
dituntut. Untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah atau sebaliknya
seronok, memang bergantung sepenuhnya kepada guru. Oleh itu guru perlu proaktif agar
pelajar yang diajar mendapat manfaat sepenuhnya.
Salah satu nilai murni dalam Etika Kerja Perkhidmatan Awam yang boleh dihayati dan
terkandung dalam Tonggak Dua Belas ialah keseronokan bekerja. Nilai murni keseronokan
bekerja yang tertera dalam Tonggak Dua Belas ini perlu dihayati dan diamalkan oleh setiap
anggota perkhidmatan awam agar membentuk perkhidmatan awam yang beretika serta
berkualiti. Apakah yang dimaksudkan dengan keseronokan bekerja ? Menurut Kamus
Dewan ( Karyanet.com ) keseronokan merujuk kepada prihal keadaan atau rasa
seronok, kesedapan sesuatu yang menyebabkan sesorang itu berasa seronok. Manakala
bekerja pula merujuk kepada melakukan atau menjalankan sesuatu untuk menyelesaikan,
menghasilkan atau menyelesaikan sesuatu. Tuntasnya keseronokan bekerja sebagai seorang
guru ialah keseronokan melaksanakan tugas sebagai pendidik bagi melahirkan para pelajar
yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani selaras dengan Falsafah
Pendidikan Negara (FPN). Keseronokan bekerja akan wujud sekiranya amalan-amalan positif
diamalkan iaitu menganggap kerja sebagai ibadat, mempunyai inisiatif sendiri, menghasikan
yang berfaedah, mempunyai komitmen terhadap kerja dan bersedia memberi kerjasama.
Keseronokan bekerja dapat dicapai sekiranya kita menganggap tugas yang kita lakukan
sebagai ibadat. Dalam Islam bekerja adalah suatu tuntutan, keperluan dan merupakan ibadat
yang dituntut oleh Allah SWT. Amalan murni ini seharusnya dilaksanakan dengan penuh
2. amanah, bertanggungjawab dan ikhlas supaya mendapat balasan yang baik pada hari akhirat
kelak. Agama-agama lain juga memberi saranan yang sama ketika melaksanakan tugas atau
bekerja. Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang guru, ibadat bermaksud segala ilmu
yang kita sampaikan kepada para pelajar adalah merupakan amalan yang dilakukan kerana
Allah. Guru tidak menharapkan apa-apa juga balasan kerana apabila guru dapat menghayati
tugas guru yang juga menjadi amalan atau ibadah dan wujud rasa seronok itulah sebenarnya
kemuncak tugas guru. Perasaan ini bukan sahaja dirasai oleh seorang guru, malah rakan guru
yang juga di sekolah bersikap begitu. Sesungguhnya keseronokan bekerja itu merupakan
suatu nilai yang sangat tinggi. Bila wujud perasaan seronok, kerja dibuat dengan 100% ikhlas,
sukarela dan faktor inilah yang akan dapat meningkatkan pengajaran dan pembelajaran. Bukan
setakat itu sahaja, malah kualiti pengajaran dan pembelajaran pasti akan dapat terus
ditingkatkan demi kecemerlangan prestasi akademik. Oleh yang demikian, sebagai guru, wajib
mengamalkan dan menghayati nilai-nilai murni seperti yang terkandung dalam Tonggak Dua
Belas iaitu keseronokan bekerja dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab di sekolah.
Selain untuk mencapai Cabaran Wawasan 2020, iaitu melahirkan masyarakat yang berjiwa
bebas, berkeyakinan terhadap diri sendiri, berbangga dengan apa yang dicapai serta cekap
menghadapi rintangan dan sentiasa mengejar kecemerlangan atau dalam erti kata lain
pengwujudan masyarakat yang bebas, merdeka dan cemerlang.
Tugas mendidik pelajar di sekolah, seseorang guru perlu menganggap sebagai
menanggung satu amanah dan harapan daripada ibu bapa, yang harus dilaksanakan dengan
rasa penuh tanggungjawab dan ikhlas. Manakala hubungan antara guru dengan pelajar, mesti
dianggap sebagai hubungan antara bapa dengan anak. Segala usaha ini akan menimbulkan
dedikasi, ketekunan, amanah, bertanggungjawab dan ikhlas, contohnya saya seronok
mengajar dan pada masa yang sama memberi nasihat dan motivasi kepada pelajar supaya
mereka berjaya dalam pelajaran kerana inilah juga harapan ibu bapa mereka. Di sinilah
sebenarnya terletak seni keseronokan bekerja dalam erti kata pengajaran dan pembelajaran
sama ada di dalam atau di luar bilik darjah demi memacu kejayaan sekolah.
Mempunyai komitmen terhadap kerja juga merupakan salah satu faktor untuk mencapai
keseronokan ketika bekerja. Sebagai seorang guru yang mengajar mata pelajaran di sekolah,
guru akan membuat perancangan yang awal sebelum melaksanakan tugas pengajaran dan
pembelajaran . Membuat perancangan tahunan dan harian dalam buku rekod pengajaran
dengan teliti dan memastikan guru dapat mencapai objektif seperti yang dirancang. Melalui
perancangan pengajaran yang teliti juga akan menyakinkan guru ketika mengajar. Bersedia
untuk menjawab soalan daripada pelajar dan bersedia dengan soalan kepada pelajar. Langkah-
langkah dalam pengajaran dan pembelajaran juga dirancang dengan pelbagai alatan bantuan
mengajar yang terkini iaitu ICT. Penggunaan pelbagai kaedah seperti inkuari dan refleksi,
aktiviti kumpulan, perbincangan kes dan perkongsian pengalaman dan pembentangan dan soal
jawab. Guru akan berasa seronok melaksanakan tugas sebagai seorang guru dan pelajar juga
akan berasa seronok dan yakin terhadap guru sebagai pemudahcara mereka. Jika keadaan ini
berlaku, pelajar akan sentiasa tertunggu-tunggu untuk hadir ke kelas dan guru pula akan
sentiasa menghitung waktu untuk memasuki kelas. Keadaan ini secara tidak langsung dapat
meningkatkan pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas.
3. Untuk meningkatkan lagi kemahiran guru dalam mata pelajaran yang diajar, guru wajar
menghadirkan diri dalam kursus, seminar, bengkel dan kolokium yang diadakan sama ada di
peringkat daerah, negeri, kebangsaan atau antarabangsa. Semuanya ini menjadikan seseorang
guru itu lebih seronok bekerja kerana dapat menambah ilmu pengetahuan, dapat bergaul
dengan ramai ilmuan dan bertukar-tukar fikiran dan pendapat. Secara tidak langsung dapat
meningkatkan lagi prestasi guru, panitia dan sekolah. Melalui panitia guru dapat berkongsi
pengetahuan dan pengalaman dengan rakan-rakan panitia dan sekolah dengan membuat
kursus dalaman di peringkat sekolah. Seterusnya membuat perancangan untuk melaksanakan
program peningkatan prestasi pelajar. Perkongsian pengalaman dapat menghasilkan idea
baru dan penerokaan yang kreatif dalam pelaksanaan proses pedagogi. Penglibatan guru
dengan Panel Perunding Mata Pelajaran ( PPMP ), dengan pentaksiran negeri, dengan
Lembaga Peperiksaan Malaysia, merupakan satu pengiktirafan kepada diri seorang guru. Ini
menambahkan lagi semangat guru tersebut untuk terus melaksanakan tugas dengan lebih
berdidikasi dan cemerlang.
Selain itu juga, keseronokan bekerja akan lahir dengan cara bersedia memberi
kerjasama kepada rakan sekerja. Keseronokan bekerja ini dikongsikan bersama dengan
rakan panitia supaya dapat mewujudkan teamwork dalam sesuatu panitia. Pengajaran
dan pembelajaran dirancang secara bersama dan pemantauan rakan sejawat dilakukan bagi
berkongsi pengalaman dan pengetahuan. Guru boleh berbincang bersama bagi meningkatkan
pengajaran dan pembelajaran dalam menyelesaikan sebarang masalah tanpa berasa rendah
diri antara satu dengan lain. Keseronokan ini menjadikan sesorang guru lebih bersemangat
untuk menjalankan tugas sebagai guru dan pelajar juga berasa seronok untuk belajar. Situasi
ini dapat mengurangkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Pelajar lebih berminat untuk
belajar dan mengikuti pelajaran, tiada masalah ponteng kelas dan prestasi pencapaian pelajar
pasti akan meningkat.
Hubungan baik dan harmoni, permuafakatan dan sentimen kekitaan sebagai satu
pasukan untuk mencapai sesuatu matlamat dalam organisasi amat penting bagi mewujudkan
rasa seronok bekerja. Kerja berpasukan merujuk kepada sekumpulan pekerja dalam sesuatu
organisasi yang melaksanakan sesuatu tugasan secara bergandingan untuk mencapai
matlamat kumpulan. Setiap ahli berpeluang berkongsi kebolehan dan bakat untuk
menyelesaikan sesuatu dengan lebih bijak dan kreatif. Keseronokan akan terbina jika setiap kita
diberi peluang untuk mencuba hasil pemikiran kita secara bebas. Ahli panitia diberikan hak
untuk merancang program kurikulum bagi meningkatkan pencapaian atau mengatasi
kelemahan pelajar. Kebebasan ini membolehkan guru dan rakan setugas merancang program
mengikut kreativiti masing-masing berdasarkan dapatan daripada data headcount. Setelah
mengenal pasti pelajar mengikut tahap pencapaian akademik mereka, guru akan merancang
dan membuat aktiviti yang sesuai mengikut tahap dan minat mereka. Latihan dbuat mengikut
aras kesukaran dan pendekatan dilakukan mengikut minat pelajar contohnya menyelesaikan
sesuatu tugasan dalam kumpulan kecil .
Keseronokan bekerja mampu dicapai apabila kita bekerja secara berkumpulan. Kerja
berkumpulan merujuk kepada sekumpulan pekerja dalam organisasi yang melaksanakan tugas
secara berganding bahu antara satu sama lain dalam kumpulan tersebut bagi mencapai suatu
matlamat bersama. Kerja secara berkumpulan dalam panitia boleh menghasilkan panitia
4. menjadi hebat. Melaluinya saya dapat membuat penilaian terhadap pencapaian prestasi
sekolah. Sebaliknya guru tidak hanya berpuas hati dengan pencapaian yang telah dicapai.
Guru dapat merujuk kepada sumber-sumber lain untuk membantu meningkatkan lagi proses
pengajaran dan pembelajaran seperti Guru Cemerlang dan Jurulatih Utama. Keseronokan
bekerja yang wujud daripada kerja berkumpulan ini juga akan menambah ilmu-ilmu yang baru
seperti pedagogi terkini dan perisian komputer terkini secara langsung dapat meningkatkan
pengajaran dan pembelajaran guru. Pelajar mendapat input yang terbaik daripada guru dan
mereka lebih berminat untuk belajar dan seterusnya menghasilkan keputusan yang cemerlang
dalam keputusan ujian sumatif dan formatif yang akan mereka duduki.
Pengurusan yang berkesan membabitkan penyelenggaraan iaitu melakukan
pemantauan, meninjau, memerhati, memberi tunjuk ajar dan berbincang dengan ahli panitia
dan pihak pengurusan sekolah mampu meningkatkan keseronokan bekerja. Pemantauan kerja
sesama rakan setugas dapat mendekatkan diri seseorang guru dengan rakan dan pihak
pengurusan supaya dapat meningkatkan motivasi kerja yang tinggi. Penyeliaan oleh pihak
pengurusan dan rakan panitia akan membantu guru menambah baik mutu pengajaran dan
pembelajaran. Suasana ini membantu meningkatkan keseronokan bekerja di tempat kerja.
Keadaan tempat kerja yang kondusif merupakan satu daripada ciri yang penting bagi seseorang
guru untuk berasa seronok di tempat bekerja. Keselesaan tempat kerja guru yang lengkap
dengan hawa dingin, peralatan yang sesuai, peralatan komputer lengkap dengan LCD
projektor dan sistem bunyi, memberikan guru dan pelajar suasana kerja dan belajar dalam
keadaan selesa, nyaman dan seronok.
Sebagai seorang guru, hendaklah sentiasa berinisiatif untuk memajukan diri dan
profesion keguruan. Secara tidak langsung keseronokan bekerja akan wujud kerana guru akan
sentiasa berusaha ke arah yang lebih cemerlang kerana setiap kejayaan dan peningkatan
pada pelajar dan sekolah akan mendapat penghargaan daripada pihak pengurusan sekolah.
Guru mesti menjadikan kerja mengajar sebagai suatu cabaran memerlukan kesungguhan,
komitmen yang tinggi untuk menghadapi sebarang kemungkinan perubahan dalam dunia
pendidikan. Daya kreatif dan adanya keinginan mencuba idea yang baru akan menimbulkan
keseronokan bekerja. Untuk memupuk daya kreatif guru akan menjadikan program-program
kurikulum sebagai alat untuk mengaplikasi kaedah-kaedah dan pendekatan baru.
Pengalaman-pengalaman lalu akan menjadikan seseorang guru bertambah matang dalam
segala tindakan. Segala kelemahan yang akan datang perlu dihadapi dengan penuh tekad.
Guru perlu berusaha untuk membuat satu pendekatan baru supaya pelajar seronok. Dalam
pengajaran dan pembelajaran guru perlu berani mencuba kaedah terbaru dan yang terkini agar
pengajaran guru sentiasa subur serta disukai pelajar. Hasilnya pelajar lebih seronok dan
kefahaman tentang konsep pengajaran bertambah baik dan seterusnya pasti menunjukkan
peningkatan pencapaian akademik. Akhirnya guru berasa bangga kerana telah menunjukkan
ciri-ciri profesional sebagai seorang guru.
Kesimpulannya dapatlah dikatakan bahawa kesemua yang telah bincangkan dalam
penulisan ini sangat berkait rapat dan merupakan satu cara bagaimana amalan keseronokan
bekerja dapat meningkatkan pengajaran dan pembelajaran seseorang guru. Apabila nilai murni
keseronokan bekerja dapat guru terapkan dalam diri dan diamalkan, apa juga halangan dan
rintangan tidak mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Setiap program pengajaran
dan pembelajaran yang dirancang akan dilaksanakan dengan penuh komitmen. Selepas
pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran guru perlu menjalankan pemantauan dalam semua
5. aspek pengajaran dan pembelajaran contohnya menyemak latihan pelajar. Pada masa yang
sama guru juga berasa begitu seronok menjalankan penilaian terhadap kerja yang telah
dilakukan dalam pengajaran dan pembelajaran serta membuat refleksi. Guru juga melakukan
penambahbaikan terhadap kelemahan yang terdapat sepanjang menjalankan tugas. Kesemua
langkah ini akhirnya pasti berjaya meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran guru.
Impaknya pengajaran dan pembelajaran guru berkesan dan pelajar dapat kesan yang positif
dan seronok belajar. Akhirnya dapat meningkatkan pencapaian prestasi akademik pelajar-
pelajar.
Penutup
Proses pengajaran dan pembelajaran merupakan suatu proses yang berpanjangan dan
berterusan selagi dunia pendidikan di dunia ini tidak berkubur. Pengajaran memang mudah
diperkatakan. Namun untuk mewujudkan pengajaran dan pembelajaran yang seronok
merupakan sesuatu yang perlukan komitmen, tekad, kesungguhan dan dedikasi yang sangat
tinggi. Sebenarnya pokok pangkalnya terletak di tangan guru yang akan mencorakkanya. Jika
seseorang guru tidak kreatif dalam pengajaran, pelajar akan bosan dan kesan negatifnya akan
dirasai oleh semua pihak. Tetapi jika seseorang guru itu kreatif, inovatif, mempunyai daya
usaha yang tinggi untuk memajukan pelajarnya, pasti guru tersebut boleh mengubah 360 darjah
kemenjadian pelajarnya, insya-Allah.
Bibliografi
Abdul Wahab bin Jamaludin, Perancangan dan Pengurusan Penyelidikan, di dalam Nadi
Pendidikan, Bahagian Perancangan & Penyelidikan Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala
Lumpur, Jilid 6, bil 2, 1991.
Abdul Sukur Abdullah ( 1998 ), Education Management Focus, Kuala Lumpur, Ministry of
Education.
Glickman, C.D. Gordon, S.P. & Ross Gordon J. M ( 1995 ) Supervission of Intruction : A
Developmental Approach, Needham Heights, MA Ally & Bacon.
Press Huberman, A.M & Miles, M.B ( 1984 ) Innovation Up Close, How School Improvement
Works, New York, Plenum Press.
Sustaining Improvement : A suite of Modules on Coaching, Running, Netsworks and Building
Capacity, UK 2003.
Tonngak Dua Belas, Etika Kerja Perkhidmatan Awam Malaysia.