Pembelajaran sepanjang hayat penting untuk memastikan modal insan berkemampuan tinggi. Ia membolehkan rakyat mendapat pekerjaan, kuasa, dan keseronokan. Kerajaan Malaysia menyokong pembelajaran sepanjang hayat dengan meningkatkan sistem pendidikan. Matlamatnya adalah melahirkan modal insan yang cerdas dan berakhlak mulia.
1 of 6
Downloaded 41 times
More Related Content
Pembelajaran sepanjang hayat
1. Pembelajaran Sepanjang Hayat
Teras Pembangunan Modal Insan
Muhammad Hisyam Bin Mohamad
Fellow
Institut Kefahaman Islam Malaysia
15/02/2008 - Utusan Malaysia
Kemajuan sesuatu bangsa terletak kepada unsur-unsur kecemerlangan yang
ada di dalam diri rakyat atau sumber manusianya. Sumber manusia ini
bertindak sebagai penggerak kepada pembangunan dengan mengusahakan
pelbagai kegiatan kehidupan yang terdapat di dalam sesebuah negara. Kalau
kita perhatikan bangsa-bangsa yang maju (dahulu dan sekarang) mahupun
syarikat-syarikat yang berjaya, kita akan dapati kejayaan yang diraih oleh
bangsa atau syarikat tadi sememangnya berpaksikan kepada sumber manusia
yang cemerlang ini.
Dan seiring dengan perkembangan semasa, kemasyhuran penggunaan istilah
sumber manusia ini mula berkurangan. Sekarang kita lebih selesa dengan
istilah modal insan untuk merujuk kepada sumber manusia. Istilah modal insan
dilihat lebih mesra kerana sumber manusia tadi dianggap seperti modal (yakni
bukan suatu beban atau tanggungan) yang perlu dijaga bagi memastikan
kelangsungannya sebagai pemangkin kepada usaha pembangunan. Maka
tidak hairanlah dalam pembangunan modal insan, perkara-perkara yang
berkaitan dengan pendidikan dan pembelajaran, baik yang bersifat ilmiah,
profesional mahupun vokasional diberi perhatian yang serius.
Dalam hal ini, faham pembelajaran sepanjang hayat berperanan besar dalam
memastikan kemampuan yang ada dalam modal insan digilap agar dapat
2. menghasilkan satu tahap kecemerlangan yang diinginkan oleh negara atau
syarikat terbabit.
Faham pembelajaran sepanjang hayat adalah satu ilham yang terbit daripada
satu laporan yang disediakan oleh Paul Lengrand yang juga merupakan
pegawai yang bertanggungjawab ke atas Biro Pendidikan Dewasa (Adult
Education Bureau), Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1965. Di dalam laporan
tersebut beliau menyatakan bahawa pendidikan tidak sepatutnya terhenti pada
usia kanak-kanak atau remaja. Ia perlu mengiringi seseorang itu di sepanjang
hayatnya.
Manakala dalam satu laporan lain yang juga dikeluarkan oleh UNESCO yang
bertajuk "Learning To Be" menyatakan bahawa capaian kepada pendidikan
tidak sepatutnya dihadkan kepada golongan elit atau untuk mereka yang
berada dalam lingkungan umur yang tertentu sahaja. Ia sebaliknya perlu
disebatikan ke dalam keseluruhan anggota masyarakat dan kehidupan setiap
ahlinya.
Apa yang lebih penting ialah faham pembelajaran sepanjang hayat
membolehkan semua orang mendapatkan pengetahuan yang sepatutnya untuk
membolehkannya mengambil bahagian secara cergas sebagai seorang
warganegara yang bertanggungjawab.
Menurut Knassel, Meed and Rossetti (2000), kepentingan pembelajaran
sepanjang hayat ini dapat dikenalpasti menerusi tiga (3) sebab utama yang
dikenali juga sebagai "The Three Es" iaitu employment (pekerjaan),
empowerment (memberi kuasa) dan enjoyment (keseronokan).
Dalam arus persejagatan yang dialami sekarang, kemampuan seseorang
3. menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran baru merupakan kunci utama
untuk mendapatkan tawaran pekerjaan. Di dalam masyarakat workaholic
seperti bangsa Jepun, kesedaran tentang kepentingan pembelajaran
sepanjang hayat ini mencetuskan satu keadaan yang dikenali sebagai
"employability fever" di mana ahli masyarakatnya bersikap tekad untuk
memiliki kelulusan atau kemahiran tertentu bagi menjamin mereka
memperolehi peluang pekerjaan di dalam bidang yang mereka minati.
Jika di peringkat orang perseorangan, pembelajaran sepanjang hayat ini
merupakan satu kelebihan bagi mendapatkan peluang pekerjaan tetapi di
peringkat syarikat mahupun negara, ia merupakan pemangkin utama untuk
meningkatkan penguasaan pasaran dan mencapai daya saing ekonomi yang
mapan.
Apabila seseorang itu memperolehi pekerjaan yang diingini menerusi
kesungguhannya mempelajari sesuatu yang baru atau sesebuah negara
mencapai daya saing yang tinggi hasil kecemerlangan yang ditunjukkan oleh
rakyatnya, secara tidak langsung mereka mempunyai lebih keupayaan atau
kuasa untuk menentukan hala tuju yang ingin dicapai seterusnya. Inilah juga
yang dirujuk oleh Knassel, Meed and Rossetti tadi sebagai empowerment.
Selain memberi ruang yang lebih dalam bidang pekerjaan mahupun keupayaan
dalam menentukan sesuatu, pembelajaran sepanjang hayat juga merupakan
satu keseronokan (enjoyment) kepada mereka yang cintakan ilmu
pengetahuan dan sesuatu yang baru. Dalam banyak keadaan, belajar kerana
seronok akan memudahkan lagi usaha memahami atau menghayati sesuatu
perkara dan seterusnya akan mendorong seseorang itu untuk mengetahui
4. dengan lebih lanjut lagi tentang perkara tersebut.
Jika kita ingin mengaitkan konsep pembelajaran sepanjang hayat ini dengan
ajaran agama Islam, ia bukanlah sesuatu yang sukar. Malah wahyu pertama
yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w di dalam surah al-‘alaq adalah
berupa satu suruhan supaya baginda membaca walaupun baginda seorang
yang buta huruf (ummiyy) dan sudah berusia 40 tahun pada masa tersebut.
Justeru, intisari wahyu pertama itu juga menjelaskan kepada kita bahawa Allah
s.w.t mewajibkan umat manusia supaya menuntut ilmu pengetahuan. Selain
daripada itu, apa yang dapat dicerap daripada wahyu ini juga ialah batas usia
mahupun kekangan-kekangan yang ada, baik yang berupa halangan
kebendaan, kewangan mahupun fizikal tidak seharusnya dijadikan sebagai
suatu halangan kepada kita untuk menuntut ilmu kerana dalam agama Islam ia
merupakan satu proses yang berterusan dan berpanjangan.
Arahan ini diperkukuhkan lagi oleh sabda nabi s.a.w di dalam satu hadis yang
diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bermaksud : "Menuntut ilmu adalah wajib ke
atas tiap-tiap orang Islam."
Tanpa menjurus kepada satu lingkungan umur yang tertentu, kefarduan yang
termaktub di dalam hadis di atas dapat difahami sebagai merangkumi semua
peringkat usia umat Islam, baik yang muda mahupun yang dewasa atau yang
tua, kaya mahupun miskin.
Jika kita kembali kepada sejarah kegemilangan ilmuwan Islam, pemahaman
bahawa ilmu itu wajib dituntut walau dalam keadaan apa jua sekalipun telah
melahirkan tokoh-tokoh terbilang seperti Iman Shafie (lahir sebagai seorang
anak yatim yang miskin), Ibn Taimiyyah (lahir semasa keadaan siasah Islam
5. berada dalam kacau bilau, al-Jahiz (seorang abdi berkulit hitam) dan lain-lain
lagi.
Dalam konteks negara Malaysia, usaha untuk menyemarakkan faham
pembelajaran sepanjang hayat ini dapat dilihat menerusi iltizam kerajaan yang
dinyatakan di dalam Teras Kedua Misi Nasional yang dimuatkan di dalam
Rancangan Malaysia Ke-9. Walaupun dalam hal ini, kerajaan kita agak terlewat
jika dibandingkan dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan Korea Selatan
mahupun Singapura kerana mereka bermula seawal pertengahan tahun
1990 - an dan awal 2000 lagi, tetapi ia bukanlah satu alasan untuk kita tercicir
daripada arus kemajuan dalam bidang keilmuan ini.
Pernyataan Teras Kedua itu antara lain menegaskan bahawa kejayaan negara
bergantung kepada mutu modal insan yang dimiliki. Sehubungan dengan itu,
kerajaan Malaysia telah membuat iltizam untuk melaksanakan usaha
penambahbaikan sistem pendidikan negara secara menyeluruh, dari peringkat
pra sekolah hinggalah ke peringkat tinggi dan juga vokasional.
Tidak seperti Knassel, Meed and Rossetti yang hanya menggariskan unsur
peluang pekerjaan, keupayaan dan keseronokan sebagai dorongan utama
kepada seseorang itu untuk belajar, matlamat pembangunan modal insan
kerajaan Malaysia adalah lebih syumul dan bersifat lebih bersepadu (holistic).
Ia berhasrat untuk melahirkan modal insan yang tinggi daya akal fikirannya
tetapi pada masa yang sama mempunyai keperibadian yang unggul.
Apapun, kita sememangnya mengimpikan apa yang direncanakan kerajaan
menjadi suatu kenyataan. Apalah guna menjadi satu bangsa yang maju jika
kepentingan akhlak dan budi pekerti dikesampingkan. Sebaliknya kita mahu
6. menjadi satu ummah yang seimbang dan cemerlang dalam semua perkara.
Ini adalah bertepatan dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan
al-Hakim di mana Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
Kemuliaan manusia adalah agamanya, harga dirinya (kehormatannya) adalah
akalnya dan ketinggian kedudukannya adalah akhlaknya