Makalah ini membahas pengajaran pemulihan untuk pelajar dengan pencapaian rendah dalam pembelajaran Bahasa Melayu Kedua di sekolah rendah. Ia menjelaskan bahawa faktor-faktor seperti latar belakang sosio-ekonomi, kemahiran bahasa asasi, dan sikap guru dapat mempengaruhi pencapaian murid. Makalah ini menekankan pentingnya pemilihan kaedah pengajaran dan pendekatan yang sesuai untuk
1 of 13
More Related Content
Pemulihan bahasa
1. PENGAJARAN PEMULIHAN DALAM BAHASA
MELAYU KEDUA: SIAPA DAN MENGAPA?
Makalah ini pernah dibentangkan di
Bengkel Pengajaran Bahasa
di Sekolah Rendah Shan San,
Feb 1989
1 PENDAHULUAN
Adalah lumrah apabila kita mengatakan bahawa kadar penguasaan atau daya pembelajaran
antara seorang pelajar dengan pelajar lain adalah berbeza. Banyak faktor yang telah
dikemukakan oleh para penyelidik pendidikan dan perkembangan mental mengenai perkara
tersebut. Namun usaha untuk memulihkan ketidaksetaraan kadar penguasaan atau daya belajar
ini masih belum berhasil kerana setiap pelajar menghadapi latar kehidupan, perkembangan
mental dan pertumbuhan fizikal yang berbeza.
Masalah-masalah luaran seperti belum bersedianya seseorang pelajar menerima pendidikan
formal di sekolah, keadaan sekeliling, pemerolehan bahasa dan sebagainya serta masalah-
masalah dalaman seperti kerencatan mental, kecacatan fizikal, tidak boleh bertutur dengan fasih
dan sebagainya merupakan hambatan-hambatan yang mengakibatkan perbezaan daya
pembelajaran dan kuasa penerimaan pelajaran ini.
Keadaan ini semakin diperburukkan dengan sikap setengah-setengah guru yang tidak
memahami situasi pelajar-pelajar yang disifatkan lembam ini dan pemilihan kaedah pengajaran
yang tidak sesuai. Anggapan bahawa pelajar-pelajar di dalam sesebuah kelas mempunyai daya
atau kuasa belajar yang setara adalah anggapan yang keliru kerana kita sedar bahawa
perbezaan daya belajar, tidak hanya berlaku antara seseorang pelajar dengan pelajar yang lain,
malah berlaku juga di dalam diri seseorang pelajar berkenaan.
Akibat daripada ini, terbit pencapaian rendah seseorang pelajar atau pelajar-pelajar yang
dikatakan lembam dalam sesuatu mata pelajaran. Pelajar lembam atau pencapaian rendah
seseorang pelajar itu seperti yang dinyatakan di atas, kami maksudkan sebagai pelajar yang
mempunyai daya kecerdasan yang tidak setara dengan rakan-rakan sebaya di dalam kelas yang
sama dan tidak menghadapi masalah kecacatan fizikal atau kerencatan mental. Brennan (1974)
menyebut pelajar-pelajar lembam ini sebagai murid-murid yang gagal menghadapi kerja normal
seko1ah untuk kumpulan sebaya mereka tetapi kegagalan mereka tidak disebabkan oleh
kecacatan.
Di sini, timbullah tanggungjawab seseorang guru untuk memulihkan pencapaian rendah
seseorang pelajar yang dikatakan lembam ini. Makalah ini cuba mengutarakan beberapa
pandangan mengenai pengajaran pemulihan yang mengkhusus kepada pelajar-pelajar PI hingga
P3 dalam pembelajaran Bahasa Melayu Kedua. Semoga makalah ini akan memanfaatkan kita
bersama.
2 MASALAH PENCAPAIAN RENDAH SESEORANG PELAJAR
Sering kali kita katakan bahawa pencapaian rendah pelajar-pelajar lembam ini dihubungkan
dengan latar belakang sosio-ekonomi yang kurang baik, masalah keluarga, masalah sekitaran,
pergaulan dan sebagainya. Kita tidak dapat menafikan bahawa faktor-faktor tersebut juga adalah
2. gejala yang boleh menyebabkan pencapaian rendah seseorang pelajar. Di samping itu terdapat
juga gejala-gejala lain yang saling bertalian dengan masalah tersebut, antaranya ialah :
2.1 KEMAHIRAN ASASI BAHASA
Penguasaan bahasa seseorang kanak-kanak merupakan asas perkembangan kognitif
atau kegiatan memperoleh pengetahuan dan mengenali sesuatu melalui pengalaman
sendiri. Kelemahan penguasaan bahasa lama-kelamaan akan membawa kesan
akumulatif atau kelemahan-kelemahan yang menimbun dan berlanjutan.
Kanak-kanak yang kurang bernasib baik; yang mungkin disebabkan daripada latar
belakang sosio-ekonomi yang kurang menguntungkan, kerencatan mental atau
kecacatan fizikal seperti kurang pendengaran, penglihatan dan sebagainya, dikatakan
mengalami proses pemerolehan bahasa yang terbatas, kelainan sintaks dan kurang
tepat. Berbeza dengan kanak-kanak yang mempunyai latar belakang sosio-ekonomi
yang mantap, mungkin memperoleh bahasa yang lebih menguntungkan.
Bernstein (1970) menyifatkan pemerolehan bahasa kanak-kanak yang kurang bernasib
baik tadi sebagai 'kod terbatas', sementara pemerolehan bahasa kanak-kanak yang
bernasib baik pula disebutkan sebagai 'kod terperinci' atau 'kod terhalus'.
Akibat daripada pemerolehan bahasa yang berbeza ini menimbulkan implikasi buruk
'kepada pembelajaran kanak-kanak yang kurang bernasib baik' (Koh Boh Bon, 1981).
Greene (1968) mencatatkan bahawa halangan yang menyebabkan kegenjotan
perkembangan bahasa seseorang kanak-kanak yang kurang bernasib baik ialah:
2.1.1 Menderitai Sekatan Perkesekitaran.
Kurangnya objek-objek seperti buku, gambar, lukisan, mainan dan sebagainya.
yang boleh merangsang pertumbuhan daya membuat perbandingan, penamaan,
penggambaran (sifat) dan sebagainya.
2.1.2 Menderitai Sekatan Pengalaman
Kurangnya pengalaman untuk membuat tinjauan, lawatan, kunjungan dan
sebagainya yang boleh merangsang pertumbuhan daya fikiran.
2.1.3 Menderitai Sekatan Pergaulan.
Kurangnya pergaulan atau interaksi dengan orang-orang yang lebih dewasa
terutamanya ibu bapa atau orang-orang yang boleh dianggap menjadi model
akan pertuturan yang baik dan betul.
Sekatan-sekatan tersebut mengakibatkan kurangnya perbendaharaan kata kanak-kanak ini. Dan
akibat daripada kekurangan ini akan terbentuk jurang yang luas apabila kanak-kanak tersebut
memasuki gerbang persekolahan yang memberikan pendidikan formal.
Selain daripada kekurangan perbendaharaan kata yang akan menjejas perkembangan
pembelajaran bahasa seseorang kanak-kanak, mereka mungkin pula menghadapi tekanan untuk
berinteraksi dengan guru dan adanya semacam rasa rendah diri atau kurang memahami
perkataan-perkataan yang disampaikan oleh guru dan rakan-rakan sebayanya di dalam kelas
yang akhirnya akan menimbulkan sikap pasif atau menghindarkan diri daripada terlibat dalam
kegiatan-kegiatan yang memerlukan kehadiran mereka.
3. Kekurangan kemahiran asas bahasa atau ketidaklengkapan bahasa kanak-kanak yang tidak
beruntung ini juga jelas akan menjejas pencapaian mereka dalam bidang bahasa. Apatah lagi
apabila sikap pasif mereka ini semakin menular sehingga mereka bertindak untuk tidak mahu
bertanya, berdialog dengan guru atau rakan sebaya, mengelak diri dalam situasi yang
memerlukan mereka bercakap, maka keupayaan murid-murid menerima pendidikan bahasa
akan terbentuk dan kelihatan berbeza-beza. Di sinilah tugas guru diperlukan untuk
mengurangkan perbezaan pencapaian murid-muridnya melalui pengajaran pemulihan atau
imbuhan.
2.2 Sikap dan Peranan Guru
2.2.1 Pemilihan Kaedah Pengajaran
Pengelompokan pelajar daripada beberapa buah kelas yang mempunyai daya
pembelajaran dan tahap pencapaian yang tidak setara kepada sebuah kelas
khas bagi mempelajari bahasa kedua (bahasa ibunda) menjadikan pengajaran
bahasa kedua menjadi lebih mencabar. Apatah lagi apabila kelas bahasa kedua
ini mengandungi jumlah pelajar yang besar.
Bagi beberapa buah sekolah pula, terdapat ketidakseimbangan jumlah pelajar
yang mempelajari bahasa kedua. Terdapat di beberapa buah sekolah, jumlah
pelajar yang mempelajari bahasa Melayu kedua amat sedikit iaitu antara satu
hingga lima orang sahaja. Hal ini tidak menyukarkan guru kerana guru boleh
menjalankan tugasnya melalui pengajaran secara perseorangan dengan lebih
teratur atau menjalankan kerja-kerja pemulihan ke atas pelajar-pelajar yang
berpencapaian rendah dengan lebih kerap.
Kaedah tersebut tentulah tidak sesuai dilaksanakan di dalam kelas yang
mengandungi jumlah pelajar yang besar. Dan biasanya guru yang mengajar di
dalam kelas yang begini sering menganggap bahawa pelajar-pelajar di dalam
kelas tersebut adalah sekumpulan pelajar yang homogeneous (Mohd. Junit bin
Mohd Johari, 1987) yang mempunyai bakat yang sama dan yang boleh
mencapai kadar pencapaian yang setara.
Mentelah lagi, apabila kita memikirkan tentang daya kecerdasan, bakat, minat
yang berlainan dan daya belajar yang berbeza di kalangan pelajar yang belajar
di dalam kelas yang sesak, maka tentulah kaedah pengajaran seluruh kelas tidak
sesuai kerana sekatan-sekatan yang pernah dinyatakan dalam subtajuk
Kemahiran Asasi Bahasa tadi akan bertambah meluas dengan
timbulnya apa yang disebut sebagai Sekatan Interaksi Guru (Koh Boh Boon,
1981) yakni kurangnya peluang bagi pelajar-pelajar yang tidak beruntung untuk
berkomunikasi dengan gurunya.
Kecenderungan sebahagian guru pula yang banyak menumpukan masa dan
perhatiannya ke atas pelajar-pelajar yang giat atau aktif menyertai kegiatan
pembelajaran akan terus melalaikan pelajar-pelajar yang kurang beruntung ini.
Di sinilah peranan guru dituntut untuk memilih kaedah pengajaran yang benar-
benar sesuai bagi pelajar-pelajarnya berdasarkan kecenderungan, bakat, saiz
kelas, daya pemerolehan bahasa,
daya belajar pelajar-pelajarnya sendiri.
4. 2.2.2 Jangkaan Rendah Dan Sikap Autoriti Guru
Lazimnya seseorang guru membuat andaian subjektif ke atas pelajar-pelajarnya
berdasarkan perhatiannya terhadap keadaan fizikal, minat pembelajaran pelajar,
daya ingatan mereka dan kadar pencapaian dalam sesuatu ujian. Guru mungkin
kurang menghadapi masalah jika kadar pencapaian pelajar-pelajarnya setara
dan tinggi. Tetapi, jika kadar pencapaian setengah-setengah pelajarnya rendah,
maka guru haruslah mengambil tahu akan latar belakang sosio-ekonomi pelajar,
beberapa sekatan pemerolehan bahasa, keadaan fizikal yang menyukarkan
pembelajaran dan sebagainya bagi mencari diagnosis, sebenarnya untuk
mengubati kelembapan atau sekurang-kurangnya mendekatkan tahap
pencapaian mereka dengan tahap penapaian normal pelajar-pelajarnya yang
dikatakan baik.
Sesungguhnya tidak ada satu kaedah pun yang benar-benar dapat mengubati
penyakit pencapaian rendah ini. Mentelah lagi, tugas guru hari ini tidaklah hanya
ditumpukan kepada pelajar-pelajar yang sedemikian. Tetapi ini tidak bermakna,
guru harus membiarkan atau terus melalaikan pelajar-pelajar yang
berpencapaian rendah ini kerana gejala-gejala lain seperti keciciran, sikap atau
kemahuan bekerja yang rendah, tahap kecerdasan fikiran yang sempit akan
menjejas teruk sosio budaya, politik, ekonomi sesuatu bangsa dan negara.
Guru adalah tenaga pendorong yang besar untuk membangkitkan minat
pembelajaran dan sekali gus pencapaian baik seseorang pelajar di dalam
kelasnya. Tanpa peranan ini, kadar pencapaian rendah pelajar-pelajarnya akan
bertambah buruk.
Dalam hal ini, pengajaran pemulihan ke atas peIajar-peIajar tersebut dijangkakan
berkesan untuk merapatkan jurang perbezaan pencapaian dengan rakan-rakan
sebayanya. Pengelompokan pelajar yang kurang beruntung ini dalam satu kelas
atau kumpulan kecil dengan pemilihan kaedah pengajaran yang jitu, penggunaan
peralatan mengajar yang berkesan, pendekatan pengajaran yang tepat, alat
komunikasi yang sesuai untuk mempercepatkan pemerolehan ilmu dan lain-lain
dapat membantu guru membuat pemulihan.
Andainya guru terus leka membuat pengesanan dan pengajaran pemulihan ini,
murid-murid tersebut akan terus lalai dan ketinggalan.
Kaedah pengajaran seluruh kelas akan terus melembamkan pelajar-pelajar yang
sedemikian. Kaedah ini lebih banyak memperlihatkan gerakan guru daripada
para pelajar. Menurut Illich ( 1972 ) gaya pengajaran seperti ini membentuk guru
sebagai seorang autoritarian yakni sebagai pembimbing yang serba tahu,
sentiasa betul dan paling berkuasa. Guru sedemikian ini semacam mendesak
pelajarnya memberikan jawapan yang hanya boleh diterimanya tanpa memberi
peluang pelajar menjelaskannya dengan lebih lanjut. Para pelajar pula akan
semacam dicengkam rasa takut dan khuatir untuk mengemukakan jawapan atau
memaksa diri mereka menjawab secara membela diri (defensive learning). Guru
harus memberi peluang untuk melibatkan para pelajar memikirkan jawapan
sesuatu masalah/soalan yang dikemukakannya. Dengan demikian, para pelajar
dapat menghindarkan rasa rendah diri atau berjiwa kerdil. Seperti yang kita
maklum bahawa rasa kekerdilan jiwa dan diri pelajar sememangnya telah timbul
apabila berhadapan dengan guru. Faktor-faktor perbezaan umur, kelas, bangsa,
fizikal, kecerdasan dan sebagainya banyak mempengaruhi anggapan subjektif
para pelajar terhadap gurunya.
5. Dengan merapati para pelajar terus-menerus, mengambil tahu perkembangan
mereka memberi peluang supaya pelajar-pelajar lebih vokal, sentiasa menerima
pandangan, berbincang dan sebagainya akan membentuk interaksi yang
sememangnya penting dalam proses pembelajaran bahasa. Bruner (1973)
menjelaskan bahawa pembelajaran akan menjadi lebih berkesan apabila pelajar
itu sendiri menjadi penggerak kepada sesuatu proses pembelajaran.
Keadaan akan menjadi bertambah buruk lagi jika guru terus bersikap melebari
pertentangan budayanya dengan budaya para pelajar. Hal ini akan semakin
kusut jika timbul pula sikap guru yang gemar membuat jangkaan-jangkaan
rendah ke atas pelajar-pelajar ini. Kekata bodoh, malas, bangang, dan
sebagainya mempunyai kesan yang negatif bagi pertumbuhan minat pelajar-
pelajar yang sedemikian.
Creber (1974) mencatatkan bahawa 'Kanak-kanak yang dianggap bodoh oleh
semua orang akan dengan segera mula menunjukkan tingkah laku seorang
bodoh, malahan mempercayai bahawa dirinya seorang bodoh; sebaliknya,
perlakuan kanak-kanak yang disalah anggap guru sebagai kanak-kanak pandai
telah menunjukkan kemajuan.
Seperti yang pernah dinyatakan, seseorang pelajar yang menghadapi beberapa
sekatan pemerolehan bahasa jika tidak diberi peluang untuk mengikis tabiat
yang merugikan mereka seperti bertindak pasif dalam kegiatan pembelajaran,
menghindarkan diri untuk bertutur dan sebagainya, akan terus menghadapi
tekanan untuk meningkatkan pencapaiannya dalam sesuatu mata pelajaran.
3 TEORI PEMBELAJARAN BAHASA
Dalam kajian linguistik terdapat banyak teori pemerolehan bahasa, tetapi secara
keseluruhannya, teori-teori tersebut boleh digolongkan kepada dua golongan besar iaitu
Teori Mekanis dan Teori Mentalis. Noam Chomsky meletakkan teori Mekanis sebagai
Teori Empirisis dan Teori Mentalis yang digerakkannya sendiri sebagai Teori rasionalis.
Sementara W.M. Rivers pula menyebut Teori Mekanis sebagai Teori Aktivis dan Teori
mentalis pula sebagai teori Formalis. Dan aliran yang terbentuk daripada kedua-dua teori
ini disebut pula sebagai Aliran Behaviourisme dan Aliran Mentalisme.
3.1 Teori Mekanis
Teori Mekanis (empirisis / aktivis) menekankan bahawa pemerolehan bahasa
terjadi melalui sesuatu lakuan dan penguasaannya adalah hasil operasi stimulus
(rangsangan) dan respons (gerak balas) yang merupakan proses naluri semata-
mata, bukan proses mental atau kognitif. Teori mekanis ini didasarkan kepada
dapatan-dapatan hasil daripada percubaan-percubaan ke atas haiwan, sekadar
contoh Skinner menggunakan tikus dan Pavlov pula menggunakan anjing. Hasil
daripada percubaan-percubaan ini, haiwan-haiwan tersebut membuat gerak
balas apabila adanya rangsangan yang diulang-ulangi sehingga lakuan tersebut
menjadi satu tabiat.
Begitu juga dengan pengukuhan bahasa seseorang. Pengukuhan hanya boleh
berlaku apabila seseorang mengulang-ulangi lakuan berdasarkan kepada
rangsangan-rangsangan sehingga membentuk satu kebiasaan pula. Teori ini
juga mengetepikan fungsi otak atau mental seseorang bagi mengukuhkan
butiran-butiran bahasa yang diterimanya atau mengulang-ulang melakukan
aktiviti yang boleh membentuk satu tabiat atau kebiasaan.
6. Bloomfield (1942) yang berpegang teguh kepada teori ini berpendapat bahawa
penguasaan bahasa bukanlah semata-mata merupakan ilmu pengetahuan.
Bahasa dikuasai melalui latihan dan ia mesti dipelajari lebih daripada biasa.
Mengikut Azman Wan Chik (1982), proses pembelajaran bahasa adalah
merupakan satu proses mekanikal (dibandingkan dengan proses mental). Jadi
penguasaan bahasa bolehlah disamakan dengan proses-proses pembentukan
tabiat yang lain seperti belajar memandu kereta dan berenang yang jika diulang
kali berjaya dilakukan dengan memuaskan, akan dapat diulangkan seterusnya
dengan cara yang automatis.
Hasil daripada teori ini, terbit beberapa kaedah pengajaran bahasa yang disebut
Kaedah Terus, Kaedah Audio-lingual (Kaedah Dengar Sebut) dan sebagainya.
3.2 Teori Mentalis
Teori Mentalis ini pula amat bertentangan dengan teori mekanis. Teori Mekanis
yang banyak menggunakan percubaan ke atas haiwan dan menerapkan bahawa
pembelajaran dan pengukuhan bahasa boleh berjaya jika adanya rangsangan
dan gerak balas telah disangkal oleh golongan mentalis ini dengan mengatakan
bahawa manusia sebagai makhluk yang berfikir dan berbeza dengan makhluk
haiwan. Pembelajaran dan pengukuhan bahasa didapati secara sedar atau
dengan kata lain berhubung kait dengan daya fikir seseorang.
Menurut Noam Chomsky (1959) proses pembelajaran bahasa peringkat
permulaan diperolehi tidak semata-mata bergantung kepada operasi rangsang
dan gerak balas sahaja. Proses Kognitif sudah pasti turut serta. Tanpa peranan
kognitif, perkembangan bahasa terbatas pada yang dapat dialami sahaja, pada
hal semua komponen bahasa berkembang secara kreatif atau melangkau
batasan pengalaman naluriah iaitu rangsangan dan gerak balas. Perkembangan
bahasa secara kreatif adalah hasil turut sertanya peranan operasi mental atau
kognitif.
Seperti yang kita maklum bahawa bahasa adalah tindakan kreatif yang hanya
ada pada manusia. Kreativiti manusia menggunakan bahasa hanya dapat
difahami dengan menerima hakikat bahawa bahasa adalah satu sistem yang
teratur sebagai sebahagian daripada proses kognitif manusia. Dalam hal inilah,
sebarang teori yang digerakkan dengan rangsangan dan gerak balas mampu
menghurai kreativiti dan kelenturan orang menggunakan bahasa.
Diller (1971) yang membincangkan teori mentalis ini membuat empat andaian
berikut:
Bahasa yang hidup itu bersifat satu tingkah laku yang ditetapkan dengan
peraturan-peraturan,
Bahasa digunakan untuk berfikir;
Peraturan-peraturan tatabahasa itu nyata darisegi psikologi; dan
manusia adalah unik dengan keupayaannya berbahasa.
Seperkara lagi tentang teori mentalis ini ialah seseorang kanak-kanak telah
dilahirkan dengan innate capacity (kebolehan semula jadi) yang membentuk
keupayaan berbahasa dan proses penguasaannya bergantung kepada
kematangan.
7. Hasil daripada teori ini timbul beberapa kaedah pengajaran bahasa seperti
kaedah kognitif, dan sebagainya. Mangantar Simandjuntak (1987) menyatakan
bahawa teori ini juga mengakui adanya pembelajaran melalui trial and error
(cuba ulang) tetapi dijalankan dengan penuh kesedaran.
Samsu Yaacob dan Marzhuki Nyak Abdullah (1988) membandingkan kedua-dua
teori ini dengan mengatakan bahawa teori mekanis mempunyai alasan yang
lebih kukuh daripada hujah-hujah yang dikemukakan oleh golongan mentalis,
yang lebih mementingkan innate capacity tetapi tidak dapat dibuktikan secara
terperinci.
Golongan mekanis menganggap bahawa otak adalah sebagai kotak gelap dan
manusia belajar menerusi perilaku serta memperoleh bahasa kerana adanya
pengaruh persekitaran. Sedangkan golongan mentalis pula menganggap
bahawa pembelajaran bahasa yang mengetepikan fungsi otak atau
fikiran adalah teori yang tidak bermakna.
4 BEBERAPA PENDEKATAN DAN KAEDAH PENGAJARAN BAHASA
Abdullah Hassan (1986) mengemukakan definisi pendekatan dan kaedah dalam
pengajaran bahasa yang berbeza. Beliau maksudkan 'pendekatan' sebagai sesuatu
sikap terhadap pengajaran dan pembelajaran. Dalam pengajaran bahasa, istilah ini
merupakan satu kumpulan prinsip atau andaian yang berkaitan dengan bahasa,
pengajaran bahasa dan pembelajaran bahasa tersebut. Pendekatan yang berlandaskan
teori bahasa, teori pengajaran bahasa dan teori pembelajaran bahasa juga menyentuh
cara bahasa itu diperolehi, bagaimana bahasa itu terlahir dan difahami serta perkara-
perkara yang mengawal bahasa tersebut.
Kaedah pula Abdullah Hassan maksudkan sebagai langkah-langkah atau peringkat-
peringkat yang diatur untuk mengajar sesuatu bahasa atau bahagian-bahagiannya,
sesuai dengan pendekatan yang dipegangnya.
Daripada dua definisi ini nyatalah bahawa pendekatan dalam proses pengajaran sesuatu
bahasa dapat dijadikan pegangan untuk mengatur kaedah pengajaran. Sementara
pendekatan dan kaedah pula diperkukuh dengan teknik pengajaran atau muslihat
penyampaian butiran-butiran pengajaran yang dapat mengarah kepada matlamat yang
hendak dicapai oleh seseorang guru.
Guru kerap membuat pertanyaan apakah pendekatan yang sesuai bagi menyampaikan
sesuatu aspek bahasa kepadamurid-muridnya. Manakah yang lebih berkesan
menyampaikan rumusan-rumusan atau peraturan-peraturan bahasa lebih dahulu lalu
diperkukuh dengan butiran-butiran contoh yang dikemukakan kemudian atau murid-murid
dibimbing untuk membentuk rumusan sesuatu aspek bahasa hasil daripada
perbincangan dan pemerhatian.
Terdapat tiga pendekatan dalam proses pengajaran bahasa iaitu:
4.1 PENDEKATAN DEDUKTIF
Pendekatan yang mengemukakan pengajaran rumusan bahasa sebelum
mencapai penggunaan bahasa yakni pelajar-pelajar diperkenalkan terlebih
dahulu akan sejenis rumusan tatabahasa dengan jelas lalu diberikan contoh-
contoh yang sesuai. Pelajar- pelajar kemudiannya meniru contoh-contoh tersebut
dan menghafaznya.
8. 4.2 PENDEKATAN INDUKTIF
Pendekatan ini dimaksudkan dengan guru menyampaikan beberapa struktur
penggunaan sesuatu aspek tatabahasa yang hendak diajarkannya. Kemudian
para pelajar mengemukakan contoh-contoh lain yang serupa dengan struktur
yang disampaikan oleh guru sebagai latihan lanjutan. Setelah itu para pelajar
dibimbing untuk membuat pemerhatian kepada pembinaan struktur tersebut dan
kemudiannya membentuk generalisasi
atau rumusan sendiri.
4.3 PENDEKATAN ELEKTIK
Pendekatan elektik ini merupakan gabung jalin antara pendekatan deduktif dan
pendekatan induktif bagi menghasilkan satu strategi pengajaran yang lebih
berkesan. Mengikut Abdullah Hassan (1986), strategi pengajaran yang
berpandukan pendekatan elektik ini dimulai dengan guru memberikan contoh-
contoh mengenai sesuatu unsur bahasa dan meminta para pelajar memberikan
contoh-contoh yang serupa. Selepas itu, pelajar dibimbing untuk membuat
pernyataan mengenai rumusan tatabahasa yang terlibat dan kemudian pelajar-
pelajar mengemukakan lagi contoh-contoh lain. Sebaliknya guru boleh pula
memulakan pengajarannya dengan memberikan rumusan tatabahasa yang
berkenaan kemudian pelajar diminta memberikan penjelasan mengenai rumusan
tersebut dengan.mengemukakan contoh-contoh yang konkrit.
Jika kita teliti, pendekatan deduktif dan pendekatan induktif mempunyai matlamat
yang serupa. Namun demikian, kaedah-kaedah yang mendukung pendekatan
pengajaran ini menyebabkan lakuan yang berbeza terhadap pelajar. Pendekatan
induktif yang lebih mengarah kepada aliran behaviourisme atau teori mekanis ini
berpegang kepada rasa yakin bahawa penguasaan bahasa seseorang itu boleh
tercapai dengan adanya latihan-latihan yang berulangan sehingga membentuk
kebiasaan atau tabiat. Sedangkan pendekatan deduktif pula banyak terbentuk
hasil gerak balas mental atau fikiran untuk merumuskan sesuatu aspek
pengajaran tatabahasa.
Apa sahaja pendekatan yang hendak kita terapi dalam pengajaran, penyesuaian
kaedah pengajaran yang disusun serapi mungkin boleh mencapai matlamat yang
menjadi sasaran kita. Terdapat beberapa kaedah pengajaran bahasa yang
dikemukakan oleh para penyelidik pendidikan hasil daripada pemerhatian
terhadap beberapa teori pemerolehan bahasa. Antaranya ialah :
4.4 KAEDAH NAHU TERJEMAHAN
Kaedah ini menitikberatkan pelajar-pelajar menghafaz rumus-rumus tatabahasa
dan ayat-ayat yang dikemukakan oleh pelajar mengarah kepada pol a atau
struktur yang terdapat dalam rumusan tatabahasa berkenaan. Perbendaharaan
kata diberikan di pangkal pengajaran menerusi terjemahan dan tumpuan
pengajaran kerap mengarah kepada kesalahan umum dalam penggunaan
bahasa. Kaedah ini lebih cenderung menghurai bahasa tulisan dan
mengetepikan langsung bahasa pertuturan atau kemahiran-kemahiran
komunikasi kerana terlalu banyak tekanan pengajaran diarahkan kepada
pengetahuan peraturan bahasa dan
kekecualian-kekecualiannya.
9. 4.5 KAEDAH TERUS
Kalaulah kaedah pengajaran Nahu Terjemahan membuat penumpuan kepada
kemahiran berbahasa secara pasif, Kaedah Terus yang dikemukakan oleh
Berlitz menekankan penggunaan struktur dan perbendaharaan kata bahasa
seharian dalam situasi yang aktif. Komunikasi di dalam kelas terbentuk melalui
interaksi antara guru dengan murid. Bahasa sasaran terus atau langsung diajar
tanpa menggunakan terjemahan- terjemahan daripada bahasa ibunda. Bahan-
bahan pengajaran disusun mengikut rumus-rumus nahu dan disampaikan secara
latih tubi bagi membiasakan pelajar dengan pola-pola atau struktur ayat yang
dipelajarinya. Kemahiran berbahasa akan terbentuk
melalui latihan yang berulang-ulang melalui pertuturan.
4.6 KAEDAH AUDIO-LINGUAL (DENGAR SEBUT)
Kaedah ini berorientasikan kemahiran mendengar dan bertutur, walaupun
kemahiran membaca dan menulis tidak ketinggalan. Kaedah ini juga
menekankan program pembelajaran bahasa untuk perhubungan atau
komunikasi. Ada empat ciri kaedah dengar-sebut ini seperti mana yang
diketengahkan oleh Mohd Yasin
Abdul Majid (1980), iaitu;
Biasanya setiap perkara yang hendak dipelajari disampaikan dalam
bentuk lisan, sebelum perkara tersebut wujud dalam bentuk tulisan,
Kaedah pembelajaran bergantung kepada kebolehan menganalisis
perbezaan di antara bahasa penutur dengan bahasa yang dipelajari
secara saintifik,
Penekanan harus diberikan dalam latih tubi mengenai bentuk bahasa itu
dinamakan Pattern Practice (latihan pola), dan
Memerlukan keadaan yang nyata di dalam perhubungan di antara
individu dengan individu yang lain.
Selain daripada ciri-ciri tersebut, kaedah dengar sebut ini mengutamakan dialog
sebagai alat yang ampuh menerangkan sesuatu bahasa dan penekanan yang
berulang-ulang untuk melahirkan suatu tabiat.
Kaedah ini tidak memberikan tumpuan kepada pengajaran ilmu tatabahasa dan
menolak pendekatan kaedah Nahu Terjemahan yang berbentuk intelektual yang
cuba menghuraikan permasalahan bahasa.
Proses pembelajaran dilihat sebagai satu tabiat dan pelaziman tanpa melibatkan
analisis yang bersifat intelektual atau menggerakkan daya fikir dan kreatif.
Latihan-Iatihan berbentuk mudah dan aktif supaya pembelajaran tidak dianggap
sebagai satu beban pemikiran. Kaedah ini juga menerapkan penggunaan
peralatan mengajar seperti benda-benda maujud, gambar dan makmal bahasa.
Penekanannya disampaikan secara berulang-ulang untuk membiasakan
penggunaan bahasa seperti menerusi teknik latih tubi yang membolehkan para
pelajar membuat gerak balas hasil daripada rangsangan guru.
4.6 KAEDAH KOD KOGNITIF
Perbezaan yang jelas antara kaedah dengar sebut dengan kaedah kognitif ini
ialah penggunaan pemikiran dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa.
10. Kaedah ini lebih bersifat analisis sedangkan kaedah dengar sebut pula
digerakkan secara analogi. Dengan analisis, pelajar menggunakan fikirannya
untuk memahami sesuatu rumus tatabahasa.
Azman Wan Chik (1968) menerapkan beberapa ciri kaedah kognitif ini, iaitu;
Menguasai dengan secara sedar pola-pola fonologi, sintaksis dan
leksikal sesuatu bahasa,
Pembelajaran dengan menganalisis pola-pola, dan
Menekankan pemahaman para pelajar akan struktur sesuatu bahasa
daripada kesenangan menggunakan struktur tersebut.
Para pengkaji pendidikan menyifatkan kaedah ini merupakan lanjutan atau
penyesuaian daripada kaedah Nahu terjemahan. Dalam bentuknya yang baru,
kaedah ini memberatkan soal penguasaan bahasa secara sedar, iaitu bahasa
sebagai satu sistem yang bermakna.
5 PENGAJARAN PEMULIHAN DALAM BAHASA MELAYU
Pengajaran bahasa bermaksud membentuk kemahiran bahasa para pelajar. Dan
kemahiran bahasa seperti lazim yang kita ketahui meliputi kemahiran mendengar,
bertutur, membaca dan menulis.
Kelemahan pelajar menguasai satu atau beberapa kemahiran tersebut akibat daripada
beberapa sekatan sosial, ekonomi, fizikal dan sebagainya akan menjejas pencapaian
pelajar dalam bidang bahasa. Mentelah lagi
pencapaian rendah pelajar dal am bidang bahasa akan menerbitkan sifat negatif pelajar
untuk memperolehi pengetahuan dan bersikap menghindari pergaulan serta rendah diri.
Selaku guru, kita tidak seharusnya menimpakan derita atau melalaikan terus para pel
ajar yang berpencapaian rendah ini. Guru harus segera bertindak untuk memulihkan
pencapaian rendah ini supaya sejajar dengan
pencapaian pelajar yang normal.
Pendekatan dan kaedah pengajaran bahasa yang menjadi pilihan hendaklah sesuai dan
berkesan. Tanpa pemilihan yang berhati-hati, keadaan pelajar yang berpencapaian
rendah ini akan bertambah buruk. Guru hendaklah sentiasa berwaspada dan sentiasa
bersedia untuk mengesan kelemahan-kelemahan para pelajarnya serta bersedia pula
mencari ubat yang ampuh bagi mengubatinya.
Sharifah Alwiah Alsagoff (1986) menyarankan pengesanan dalam kemahiran membaca
ialah dengan memerhatikan murid yang sedang membaca:
berapa lamakah jangka masa bagi menyudahkan bacaannya?
bagaimanakah gerakan bibir pelajar sewaktu membaca?
mengkaji gerakan mata pelajar.
mengkaji kesan afektif ketika murid tersebut membaca.
Begitu juga dalam hal pelajar tersebut memberi jawapan kepada soal selidik guru setelah
selesai membaca. Kemudian guru timbulkan pertanyaan-pertanyaan yang boleh
mengubati kelemahan pelajarnya itu.
11. Dr. Koh Boh Boon (1981) menyarankan beberapa langkah yang wajar bagi menjalankan
pengajaran pemulihan ini, iaitu:
Menentukan siapa murid yang akan terlibat..
Mengesan kelemahan murid.
Menggolongkan kelemahan yang akan dikesan.
Menganalisis punca kelemahan murid.
Menentukan objektif khusus rancangan pemulihan
Memutuskan teknik pemulihan
Mengorientasikan pelaksana pemulihan
Menyediakan peralatan atau bahan pemulihan
Menjalankan teknik/strategi pemulihan
Menilai keberkesanan strategi pemulihan
Mengubah teknik / strategi pemulihan.
Melalui langkah-langkah tersebut, saya yakin pelajar yang pencapaiannya rendah akan
terasa diberi perhatian yang saksama oleh guru dan dengan demikian juga akan
menimbulkan minat untuk memperbaiki pencapaian mereka.
Sekian.
BAHAN BACAAN DAN RUJUKAN
Brennan. W.K., - Shaping the Education of Slow Learners,
Routledge & Kegan
Paul, London, 1974.
Bernstein. B. - Education Cannot Compensate for
Society,
New Society, Vol 26 (1970).
Koh Boh Boon - Pengesanan Awal Dan Pemulihan
Dalam Bidang Bacaan,
Dewan Bahasa,
DBP, September 1979.
- Pengajaran Pemulihan Dalam Bahasa
Malaysia.,
Utusan Publication , 1981
- Pendidikan Imbuhan, Suatu Pengenalan, DBP,
1981.
Greene, Harry A. - Language Problems of the Disadvantaged,
Allan and Bacon, Boston, 1968.
Illich, Ivan D. - Deschooling Society,
Penguin, Harmondworth, 1972
Brunner, Jerome S. - The Relevence of Education,
Penguin, New York, 1973.
12. Mohd Junit b Mohd Johari - Pengajaran Pemulihan Bahasa
Malaysia Melalui Pendekatan Kerja Kelompok:
Satu Pandangan,
Jurnal Dewan Bahasa, DBP Mac 1987
- Pentingnya Faktor-faktor Sosial dan Afektif
dalam Pelajaran Bahasa Sasaran,
Dewan Bahasa, KL, Disember, 1988
Sharifah Alwiah Al-sagoff - Ilmu Pendidikan: Pedagogi,
Heinemann, KL, 1986
Sosialogi Pendidikan
Heinemann, KL, 1987
Cyeber, J W Patrick - Lost for Words
Penguin Education
Harmondsworth, 1974
Raminah Hj Sabran - Kaedah Penga.jaran Bahasa Malaysia.
& Rahim Syam Fajar Bakti, KL 1985.
Amir Awang - Teori-teori Pembelajaran,
Fajar Bakti, KL, 1986
Mangantar Simanjuntak - Pengantar Psikolinguistik,
DBP, KL, 1987
A. Kadir Ahmad - Pengajaran Bahasa dan Bacaan di
Sekolah Menerusi Kaedah Kumpulan,
Jurnal Dewan Bahasa,
DBP, KL. November 1983
Awang Sariyan - Teori linguistik Bloomfield dan Implikasinya
Terhadap Pengajaran Bahasa,
Dewan Bahasa, DBP, KL, Julai 1978.
Blloomfield, L. - Outline Guide for the Practical Study of Foreign
Languages,
Linguistic Society of America,
Baltimore, 1942
Azman Wan Chik - Trend-trend baru Dalam Bidang Pendidikan
Bahasa,
Utusan Melayu Publications, KL, 1982.
Asmah Hj Omar - Pengajaran Bahasa untuk Kemahiran
Berklomunikasi: Pendekatan Wacana,
Dewan Bahasa, DBP, KL, Julai 1980.
Mohd Yasin b Abdul Majid - Kaedah Audio-Lingual dan Beberapa
Kaedah lain Dalam Pembelajaran Bahasa,
Dewan Bahasa, DBP. KL, Julai 1980
Marzuki Nyak Abdullah - Teori-teori Pemerolehan Bahasa dan
13. Pemelajaran yang Diterapkan Dalam
Pengajaran Bahasa,
Dewan Bahasa, KL, Mei 1987
Saedah Siraj - Penerapan Teori-teori Pemerolehan Bahasa
Dalam Kaedah Pengajaran Bahasa,
Dewan Bahasa, KL, Mei1985.
Teori-teori Penguraian Bahasa Secara Ringkas.
Dewan Bahasa, KL, Julai1985.
Kaedah Dengar Tutur dan Pola-pola Latih tubi,
Dewan Bahasa, KL, April 1986
Khatijah Abd Hamid - Tatabahasa Pembelajaran Dan Pengajaran
Bahasa Malaysia,
Dewan Bahasa, KL, Mei 1985.
Samsu Yaacob dan - Pemerolehan Bahasa Kanak-kanak
Marzuki Nyak Abdullah Ditinjau Daripada Aspek Pengaruh
Persekitarannya.
Dewan Bahasa, KL, Januari 1988
Abdullah Hassan - Pendekatan Mengajar Tatabahasa,
Dewan Bahasa, KL., Jun 1987.
Muhamed Awang - Revolusi Kognitif dan Implikasinya
Terhadap Pelajaran Bahasa,
Dewan Bahasa, KL April 1988
Mohamed Naim Daipi
17 Feb 1989