Menteri Pelajaran Malaysia menyampaikan ucapan di PICC, Putrajaya pada 10 Februari 2011 mengenai komitmen guru dalam membina modal insan untuk kemajuan negara. Beliau mengucapkan selamat kepada guru baru dan menghargai jasa guru lama. Inisiatif seperti Tawaran Baru untuk meningkatkan prestasi sekolah telah berjaya meningkatkan pencapaian murid. Sekolah Berprestasi Tinggi diiktiraf untuk menjadi contoh
1 of 5
More Related Content
Teks ucapan menteri pelajaran malaysia perutusan 2011
1. TEKS UCAPAN MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
DALAM MAJLIS PERUTUSAN KHAS 2011 DI PICC, PUTRAJAYA
PADA 10 FEBRUARI 2011
Bersama mendidik anak bangsa
SYUKUR dan tahmid ke hadrat Allah SWT serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi
Muhammad SAW. Kita bersyukur kerana pada pagi ini kita sekali lagi diberikan kesempatan untuk
menghadiri perhimpunan yang amat bermakna buat kita semua. Perhimpunan ini bukan sahaja
melambangkan kebersamaan kita dalam mendidik anak bangsa, malah mencerminkan kesatuan hati kita
untuk melaksanakan amanah yang murni ini dengan sebaik mungkin.
Pertamanya, saya ingin mengucapkan selamat memulakan tugas kepada guru-guru yang baru melangkah
ke alam perguruan pada tahun ini. Di sinilah bermulanya perjuangan anda untuk mendidik anak bangsa dan
mencorak masa depan negara. Memang benar, amanah yang bakal digalas adalah besar dan tugas yang
menanti anda semua amat mencabar. Namun saya yakin dengan segala latihan yang diberikan dan
sokongan yang bakal diterima, anda mampu untuk melaksanakan tugas ini dengan baik.
Tidak lupa juga kepada guru-guru yang pernah mendidik kita. Marilah kita kalungkan setinggi-tinggi
penghargaan di atas jasa dan bakti mereka yang terus terpahat di sanubari kita. Bak kata orang, sekali
menjadi guru, selamanya dikenang sebagai guru. Bahkan, hingga ke akhirnya dipanggil cikgu, curahan
budinya diingat selalu. Seperti nukilan Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr. Uthman Awang:
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat cikgu kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat
Berada bersama dengan guru-guru pada pagi ini mengingatkan saya kepada kata-kata seorang guru yang
pernah saya dengar. Bahawa dalam dunia ini, terdapat dua insan yang benar-benar gembira melihat kita
berjaya. Pertamanya, ibu bapa kita; keduanya, guru-guru kita.
Kita biasa melihat di kaca televisyen, di dada akhbar, atau mengalaminya sendiri di sekolah. Sebaik-baik
sahaja keputusan peperiksaan diumumkan, yang menitiskan air mata gembira melihat seorang murid
berjaya adalah guru.
Malah, banyak kisah kejayaan peribadi yang bermula dari sentuhan keramat seorang guru. Daripada anak
seorang petani, menjadi Naib Canselor universiti. Daripada anak seorang buruh ladang, menjadi peguam
yang terkenal. Daripada anak seorang penjaja, menjadi usahawan yang berjaya. Semua keajaiban ini tidak
akan berlaku tanpa suluhan ilmu seorang guru. Maka, pastinya juga kejayaan anak-anak kita di hari esok
bergantung kepada keikhlasan guru-guru hari ini memberikan pendidikan yang terbaik kepada mereka.
CABARAN BARU DUNIA PENDIDIKAN
1
2. Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, persaingan bukan lagi bersifat lokal tetapi global. Jika kita ingin
menjadi sebuah negara maju, sebuah negara yang kompetitif di peringkat antarabangsa, modal insan yang
kita lahirkan melalui institusi sekolah kita mestilah mampu untuk menjadi pesaing global.
Maka kualiti pendidikan kita juga mestilah dinilai berdasarkan penanda aras antarabangsa. Pencapaian
murid kita dalam mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris mesti ditingkatkan
sehingga mengatasi penanda aras antarabangsa. Begitu juga dengan pendidikan teknik dan vokasional
yang seharusnya menjadi pemangkin kepada pembinaan modal insan berkemahiran tinggi. Perluasan
pendidikan teknik dan vokasional harus berlaku secara drastik untuk menampung keperluan tenaga mahir
negara yang semakin meningkat.
Semua ini adalah penting dalam usaha kita untuk melonjakkan kemajuan negara dalam suasana
persaingan global yang semakin sengit. Pendek kata, sektor pendidikan berada di barisan hadapan dalam
memastikan cita-cita Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi
menjelang 2020 menjadi realiti.
Dalam upaya kita untuk menjadi sebuah negara maju, guru-guru berada di barisan paling hadapan dalam
membina modal insan yang akan memacu kemajuan negara kita. Dalam hal ini, pendidikan merupakan
landasan utama yang akan menentukan masa depan negara. Kukuh landasan ini, maka cerahlah peluang
kita untuk mencipta masa depan yang lebih gemilang.
KOMITMEN GURU
Walaupun cabaran yang dihadapi oleh guru-guru hari ini adalah berbeza daripada apa yang ditempuhi oleh
guru-guru dahulu, kunci kepada kemampuan kita untuk menjadi sebuah negara yang berjaya tetap sama.
Kuncinya ialah keikhlasan guru, dedikasi guru dan kesungguhan guru untuk menggilap potensi setiap murid
sehingga mereka menjadi insan yang berjaya.
Alhamdulillah, berkat semangat, usaha dan dedikasi guru-guru, kita telah berjaya mencatat peningkatan
yang memberangsangkan dalam keputusan peperiksaan-peperiksaan awam pada tahun lalu. Keputusan
UPSR 2010 adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun. Kita juga bersyukur di atas peningkatan yang
dicapai dalam keputusan PMR. Peratusan pelajar yang memperolehi semua A meningkat dari 9.51 peratus
pada tahun 2009 kepada 10.21 peratus pada tahun lalu.
Di sebalik angka-angka positif ini, tersirat seribu satu cerita pengorbanan dan ketabahan guru-guru.
Misalnya, di Sekolah Kebangsaan Bebangan, sebuah sekolah kecil dalam daerah Kapit di Sarawak. Guru-
guru, dengan bantuan pembantu murid dan warden asrama, memulakan kelas ulang kaji seawal jam 5 pagi
pada setiap hari persekolahan. Walaupun jam 5 pagi adalah di luar waktu bertugas biasa, tetapi oleh kerana
guru-guru percaya awal pagi adalah waktu yang terbaik untuk murid memahami dan mengingati apa yang
dipelajari, mereka tetap hadir lebih awal ke sekolah untuk membimbing murid.
Bagi saya, ini adalah contoh pengorbanan guru yang luar biasa. Barangkali, tidak ramai yang sanggup
melakukan pengorbanan seperti itu. Namun, hakikatnya ada di kalangan guru-guru kita yang sanggup
melakukannya. Pengorbanannya luar biasa, hasilnya pun luar biasa. Sekolah Kebangsaan Bebangan telah
berjaya melonjakkan kedudukannya daripada berada dalam Band 3 pada tahun 2009, kepada Band 2 pada
tahun 2010. Lonjakan yang dihasilkan hanya dalam tempoh satu tahun bagi sebuah sekolah kecil di luar
bandar ini adalah sesuatu yang memberangsangkan. Untuk itu, saya mengucapkan syabas kepada Cikgu
Juan a/k Jugah, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bebangan, dan semua guru serta kakitangan sekolah ini.
Saya percaya setiap sekolah mempunyai cerita pengorbanan dan kejayaan masing-masing. Di sebalik
kejayaan setiap pelajar, terdapat sentuhan keramat wira dan serikandi kita yang tidak didendangkan (our
unsung heroes). Sekiranya kisah-kisah pengorbanan dan kejayaan mereka dihimpunkan dan wira serta
serikandi kita diberikan pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya, saya percaya seluruh warga guru
akan mendapat suntikan semangat yang segar untuk melakukan yang terbaik demi memastikan kejayaan
setiap murid.
2
3. TAWARAN BARU (BAI'AH)
Perkara ini bukanlah sesuatu yang di luar jangkauan. Tahun lalu saya umumkan Tawaran Baru (Bai'ah)
untuk pengetua dan guru besar sebagai salah satu daripada inisiatif di bawah NKRA Pendidikan. Kita
tetapkan mana-mana sekolah yang berjaya melepasi sasaran tertentu, guru besar dan guru-gurunya akan
menerima ganjaran kewangan. Ganjaran kewangan berasaskan prestasi ini adalah satu perkara baru yang
tidak pernah dilaksanakan dalam perkhidmatan awam di negara kita sebelum ini. Tetapi kita percaya,
Tawaran Baru adalah satu idea berani yang sekiranya dilaksanakan secara telus dan adil akan menjadi
dorongan paling berharga buat guru-guru untuk meningkatkan prestasi kerja masing-masing.
Pada awalnya, kita sasarkan dua peratus guru besar dan pengetua akan berjaya melepasi sasaran prestasi
yang ditetapkan. Ini adalah satu jangkaan konservatif yang dibuat dengan mengambil kira kelaziman dalam
trend lonjakan prestasi sekolah.
Hendak seribu daya, Tawaran Baru yang kita umumkan telah memberi suntikan semangat dan dorongan
yang kuat kepada guru-guru kita untuk meningkatkan prestasi sekolah masing-masing. Buktinya, setahun
selepas Tawaran Baru diumumkan, kita dapati jumlah guru besar yang berjaya memimpin sekolah untuk
melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan adalah di luar jangkaan. Bukan lagi dua peratus seperti yang
disasarkan, tetapi 12.1 peratus, iaitu pertambahan sebanyak 600 peratus daripada jangkaan asal.
Jemaah Nazir sedang membuat pengesahan mengenai prestasi 924 orang guru besar yang telah disenarai
pendek. Insya-Allah, saya akan umumkan senarai guru-guru besar yang layak menerima ganjaran dalam
masa terdekat. Sebagai tanda penghargaan kita, guru-guru yang bersama-sama berusaha untuk
melonjakkan prestasi sekolah juga akan turut menerima ganjaran seperti yang telah dijanjikan.
Setiap guru besar yang layak akan menerima RM7,500 seorang, lima peratus guru yang paling cemerlang
akan menerima RM1,800 seorang dan selebihnya RM900 seorang. Senarai Pengetua dan guru-guru
sekolah menengah yang layak menerima ganjaran di bawah Tawaran Baru ini akan saya umumkan pada
pertengahan tahun ini.
Apakah maknanya ini kepada kita semua? Bagi saya, guru-guru kita, dengan adanya dorongan,
pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya, mereka boleh melakukan yang terbaik. Telah pun terbukti,
prestasi guru-guru terbaik kita bukan sahaja memberangsangkan, malah luar biasa. Syabas saya ucapkan!
SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI
Satu lagi inisiatif di bawah NKRA Pendidikan ialah mengenal pasti dan memberi pengiktirafan kepada
Sekolah Berprestasi Tinggi.
Pada tahun lalu, kita telah umumkan 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi. Pada tahun ini, 30 buah sekolah
lagi yang memenuhi kriteria yang ditetapkan akan diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi. Namun,
dalam melaksanakan program SBT ini, apa yang penting bukan jumlah sekolah yang mendapat
pengiktirafan. Tetapi apakah impak sekolah ke atas pembelajaran murid dan bagaimanakah sekolah-
sekolah ini dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan sekolah-sekolah lain.
Hal ini tidak mustahil untuk dicapai. Sekolah Kebangsaan Brinchang, Cameron Highlands, hari ini telah
menempa beberapa kejayaan hasil pelbagai usaha sama yang dijalin dengan Sekolah Kebangsaan
Convent Kota Taiping yang merupakan salah sebuah sekolah berprestasi tinggi. Guru-guru kedua-dua
sekolah terlibat secara bersama dalam panitia mata pelajaran yang dibentuk khusus untuk berkongsi idea
tentang cara bagaimana untuk meningkatkan prestasi murid.
Hasilnya, dalam peperiksaan UPSR tahun lalu, pertama kali dalam sejarah Sekolah Kebangsaan
Berinchang, semua murid lulus matapelajaran Sains dan 95.5 peratus murid lulus mata pelajaran
3
4. Matematik. Ini adalah contoh satu usaha yang mudah, tetapi amat berkesan untuk meningkatkan
pencapaian murid. Tahniah saya ucapkan kepada warga kedua-dua sekolah ini.
Melangkah ke hadapan, antara aspek yang perlu ditekankan oleh SBT ialah inovasi dalam pengajaran dan
pembelajaran. Autonomi yang diberikan kepada sekolah-sekolah ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin
untuk menjana daya kreativiti guru dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang paling efektif.
Kita ingin lihat idea-idea yang lebih berani dan segar untuk meningkatkan pencapaian murid muncul dari
sekolah-sekolah berprestasi tinggi.
Dalam hubungan ini, jadikan sekolah berprestasi tinggi sebagai makmal idea-idea kreatif pengajaran dan
pembelajaran yang boleh dilaksanakan di dalam bilik darjah. Ini kerana matlamat akhir SBT bukan sekadar
memberi pengiktirafan terhadap kecemerlangan sekolah, tetapi memastikan kecemerlangan sekolah dapat
memberi impak yang positif ke atas pencapaian setiap murid.
Di samping program SBT, Kementerian Pelajaran juga merintis kerjasama dengan Khazanah Nasional Bhd.
melalui Yayasan Amir, iaitu sebuah badan bukan keuntungan, untuk menjayakan program Sekolah
Amanah. Pada peringkat awal ini kita telah memilih 10 buah sekolah untuk dijadikan Sekolah Amanah, di
mana pihak Khazanah Nasional telah memberi komitmen untuk membantu sekolah-sekolah ini
meningkatkan pencapaian. Dengan adanya kerjasama awam-swasta ini, kita yakin tahap pencapaian
sekolah-sekolah di negara kita akan dapat dilonjakkan lagi agar setanding dengan pencapaian sekolah-
sekolah cemerlang di peringkat antarabangsa.
PROGRAM PEMBANGUNAN SEKOLAH
Dalam usaha kita untuk melonjakkan prestasi semua sekolah, kita sedar bahawa padang tidak selalunya
rata. Ada sekolah yang sudah sedia cemerlang, tetapi banyak juga sekolah yang masih bergelumang
dengan pelbagai kekangan untuk berjaya.
Pada masa yang sama kita sedar bahawa tugas kita ialah untuk memastikan setiap murid berjaya. Walau
apa pun latar keturunan mereka, walau di mana mereka berada, kejayaan mereka adalah tanggungjawab
kita. Pastinya, impian seorang anak kecil di Sekolah Kebangsaan Balar di Gua Musang, Kelantan adalah
sama nilainya dengan cita-cita seorang murid di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara di Kuala Lumpur.
Seorang nun jauh di pedalaman, seorang lagi di tengah-tengah ibu kota. Seorang dengan serba-serbi
kekurangan, manakala seorang lagi dengan segala kemudahan.
Keutamaan kita pastinya ialah untuk memastikan impian kedua-dua anak kecil ini dapat dicapai. Dalam
menghadapi realiti ketiadaan padang yang sama rata, pendekatan kita mestilah berbeza. Zaman
menggunakan pendekatan yang sama untuk menyelesaikan permasalahan yang berbeza telah berakhir.
Untuk itu, kita telah memperkenalkan Program Pembangunan Sekolah. Di bawah program ini, lebih 160
orang jurulatih yang terdiri daripada pegawai Kementerian Pelajaran, pensyarah Institut Aminuddin Baki,
pensyarah Institut Pendidikan Guru, Pengetua Cemerlang dan Guru Cemerlang telah dilantik untuk
membimbing sekolah-sekolah berprestasi rendah. Sekolah-sekolah sasaran adalah yang berada dalam
Band 6 dan Band 7, iaitu dua kumpulan terendah dalam senarai penarafan sekolah di negara kita.
Alhamdulillah, pendekatan secara bimbingan ini telah membuahkan hasil. Kita telah berjaya mengurangkan
jumlah sekolah rendah yang berada dalam Band 6 dan Band 7 daripada 209 buah pada 2009 kepada 140
buah pada tahun 2010. Sebanyak 88 buah sekolah yang dahulunya berprestasi rendah kini telah berjaya
meningkatkan prestasi masing-masing. Menariknya, 83 daripada 88 buah sekolah ini adalah sekolah-
sekolah di luar bandar. Syabas saya ucapkan kepada Cikgu Jama a/k Rigong, Guru Besar Sekolah
Kebangsaan Tampak di Sabah, Cikgu Subramaniam a/l Chellapan Guru Besar SJKT Ladang Dublin 7 di
Kedah, Cikgu Ng Yong Liang, Guru Besar SJKC Kheng Chee di Pahang dan semua guru-guru besar yang
berjaya meningkatkan prestasi sekolah masing-masing.
4
5. Jelasnya, Program Pembangunan Sekolah ini telah terbukti berjaya membantu sekolah-sekolah berprestasi
rendah untuk meningkatkan pencapaian murid. Melalui proses bimbingan secara berterusan, kita telah
berjaya mengatasi beberapa kekangan yang dihadapi oleh pihak sekolah. Misi kita ialah untuk memastikan
setiap murid berjaya mencapai impian masing-masing.
PROGRAM LITERASI DAN NUMERASI
Kita juga menekankan tentang penguasaan literasi dan numerasi murid di peringkat awal persekolahan.
Penguasaan kedua-dua kemahiran ini di peringkat awal adalah penting untuk memastikan murid tidak
mengalami kesukaran mengikuti pelajaran apabila umur mereka semakin meningkat. Justeru, sebarang
masalah berkaitan dengan penguasaan literasi dan numerasi perlu dikenal pasti dan diatasi segera.
Untuk itu kita telah memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi (LINUS) di bawah NKRA Pendidikan.
Alhamdulillah, dengan pelaksanaan program ini, kita telah dapat mengenal pasti tahap kemahiran literasi
dan numerasi murid dan melakukan usaha intervensi untuk membantu murid-murid yang gagal
menguasainya. Berdasarkan keputusan saringan ketiga LINUS yang dilaksanakan pada bulan November
2010, 85 peratus murid Tahun 1 telah menguasai literasi dan 91 peratus menguasai numerasi. Kita percaya
dengan usaha-usaha intervensi secara berterusan, tahap penguasaan literasi dan numerasi murid akan
dapat dipertingkatkan.
PEMBIMBING INSAN, PEMBINA NEGARA
Dalam keghairahan kita untuk membina modal insan, jangan kita lupa tentang satu lagi matlamat utama
pendidikan, iaitu untuk membangun jiwa insan. Guru-guru, seperti juga ibu bapa, adalah pembimbing dan
pengasuh jiwa murid. Tugas guru bukan sekadar mencurahkan ilmu, tetapi menyuntik nilai dan makna yang
murni ke dalam sanubari murid. Pastinya, pendidikan yang disulami dengan asuhan budi dan pekerti yang
mulia adalah sesempurna pendidikan.
Guru juga adalah pembina negara bangsa. Dalam perlumbaan kita untuk menjadi sebuah negara maju,
harus kita ingat bahawa masyarakat maju yang ingin kita cipta haruslah berakar kepada nilai, budaya dan
jati diri yang utuh. Untuk itu, anak-anak kita perlu diasuh supaya memahami dan menghargai susur-galur
sejarah pembinaan negara kita. Bagaimana generasi terdahulu melakukan pelbagai pengorbanan untuk
membina sebuah negara yang bebas dan merdeka. Bagaimana masyarakat pelbagai kaum di negara kita
telah menerima antara satu sama lain sebagai saudara sewarganegara. Ini adalah antara rekod pencapaian
kita yang penting dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu.
Justeru, saya ingin menegaskan bahawa pengkisahan tentang sejarah pembinaan negara kita mesti
disampaikan kepada murid secara jujur. Oleh sebab itu, kita telah menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji
Kurikulum Sejarah yang akan mengesyorkan kepada kerajaan cadangan-cadangan untuk menambahbaik
kandungan kurikulum serta pengajaran dan pembelajaran sejarah di sekolah. Tujuannya ialah supaya
pembelajaran sejarah dapat melahirkan warganegara yang benar-benar memahami sejarah, bersifat
patriotik dan mempunyai jatidiri yang kukuh.
Hakikatnya, guru-guru menggalas tanggungjawab yang amat besar. Di bahu guru terletak amanah
membangun jiwa manusia dan membina negara bangsa. Bukan calang-calang insan yang sanggup
memikul tugas berat ini.
Namun, saya percaya, guru-guru yang berada di hadapan saya pada hari ini memilih kerjaya guru kerana
anda semua berjiwa guru. Sebagai seorang yang berjiwa guru, tugas ini sudah pasti akan digalas dengan
penuh keikhlasan dan kesedaran. Jadikanlah keikhlasan guru dan keberkatan ilmu yang disampaikan
sebagai sumber kekuatan kita untuk bersama-sama mencipta sebuah negara bangsa yang berjaya.
5